Pembukaan Sempadan Negara: Pemain Industri Pelancongan Sabah Disaran Buat Persediaan Awal

jafry.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Semua pengusaha industri pelancongan disarankan membuat persediaan awal termasuk penetapan prosedur operasi standard (SOP) bagi menerima ketibaan pelancong dari luar negara ke Sabah.

Menyambut baik pengumuman pembukaan sempadan negara, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyifatkan ia sebagai khabar gembira buat pemain industri pelancongan di negeri ini.

“Ia merupakan satu berita gembira buat pengusaha industri pelancongan serta seluruh rantaiannya, dalam merancakkan semula sektor pelancongan selepas dua tahun dilanda pandemik COVID-19.

“Justeru, semua pengusaha industri pelancongan disarankan agar melakukan persediaan awal bagi menerima pelancong dari luar negara diikuti dengan SOP yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Rabu.

Jafry berkata, kementeriannya bersama semua agensi terlibat juga akan terus mempergiat promosi dalam memasarkan produk dan lokasi pelancongan Sabah di peringkat antarabangsa.

“KePKAS akan terus memberi kerjasama dan menyokong segala usaha yang dilakukan kerajaan dalam menjayakan pembukaan semula sempadan mulai 1 April depan,” katanya lagi.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya telah mengumumkan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini, selaras dengan situasi negara yang akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ pada tarikh yang sama.

Jelasnya, pengembara yang telah mendapat vaksin penuh tidak perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke Malaysia, sebaliknya, mereka hanya perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dan ketika ketibaan.

Ismail berkata, keputusan untuk membuka semula sempadan dibuat berdasarkan “sains dan fakta terkini” mengenai COVID-19, dengan menyatakan bahawa negara lain juga telah mula membuka sempadan mereka.

Untuk rekod, sempadan negara telah ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top