Pembukaan Sempadan Negara Mampu Pulihkan Ekonomi – Bung

bung.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menyokong syor pembukaan semula sempadan negara dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya langkah ini akan memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing terutamanya dalam sektor pelancongan.

Menurut beliau, kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektor-sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Bung yang juga  Ahli Parlimen Kinabatangan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya di bangunan Parlimen pada Selasa yang memberitahu sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April.

Menurut perdana menteri langkah itu selari dengan peralihan Malaysia ke Fasa Endemik bertujuan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Menurut Bung dalam ucapan perbahasan menjunjung Kasih Titiah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Isnin beliau telah membangkitkan perkara itu dengan meminta kerajaan khususnya kementerian yang terlibat mengkajinya demi memulihkan ekonomi dan kehidupan rakyat yang sekian lama terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19

Bung berkata  Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

Bagaimanapun beliau turut mengingatkan agar pembukaan semula sempadan negara dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko, selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara” katanya

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top