Pembubaran DUN Melaka, TYT Sepatutnya Ikut Proses – PH

Majlis-Presiden-PH.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendapat, Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Mohd Ali Rustam sepatutnya meneliti dan mengikuti Perlembagaan Negeri Melaka, serta bertemu 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu pihak yang memperoleh majoriti sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurut kenyataan PH, tindakan TYT bukan sahaja melanggari duluan (precedent) bagi Melaka itu sendiri di mana pada 2020 nasihat Ketua Menteri ketika itu (YB Adly Zahari) untuk membubarkan DUN tidak diterima setelah hilang majoriti, malah ianya juga tidak selari dengan duluan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abdul Kadir di mana sokongan majoriti boleh ditentukan di luar DUN.

“Majlis Presiden turut berasa kesal kerana tindakan pembubaran DUN Melaka telah membuka laluan untuk Pilihan Raya Negeri diadakan, yang boleh mengancam nyawa rakyat pada ketika pandemik COVID-19 belum lagi terkawal sepenuhnya,” menurut kenyataan itu, pada Rabu.

Pakatan Harapan juga mengambil pendirian bahawa TYT Melaka telah membubarkan DUN berdasarkan nasihat yang salah dari seorang Ketua Menteri yang hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri.

Empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap beliau pada Isnin lalu, berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri tersebut hilang jawatan dan kelayakan untuk menasihati TYT.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Madius Tangau.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top