Pembinaan ‘water intake’ kedua diluluskan tangani isu air di Papar – Hajiji

CM-loji-2.jpg

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika melawat LRA Limbahau semalam. (Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor)

Kongsi Bersama

PAPAR: Kerajaan Sabah meluluskan peruntukan bagi membina satu lagi muka sauk di Kampung Kabang di sini, yang dicadangkan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan tersebut akan dikemukakan oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama Syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd nanti.

“Ini bukan saja menyelesaikan masalah air di Papar tetapi ia sebagai tindakan jangka masa panjang.

“Setiap tahun loji yang ada mengalami kemasukan air masin kerana muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau ini tidak jauh dari muara, jadi air masin selalu datang. Kalau ada satu yang baru tiada masalah, sini tutup (muka sauk), sana boleh keluar air.

(Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor)

“Jadi itu yang dimaksudkan dengan peruntukan segera daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat LRA Limbahau di sini pada Selasa.

Diminta mengulas mengenai situasi semasa bekalan air di seluruh Sabah, Hajiji memaklumkan semua daerah sudah ditubuhkan Jawatankuasa Bencana Daerah masing-masing bagi menangani masalah kemarau yang dihadapi kini.

“Kemarau ini bukan main-main, ini El-Nino yang melanda Sabah. Namun boleh dikatakan banyak daerah yang mengalami kemarau tetapi masih ada air sampai kepada kampung atau penduduk.

“Cuma di Papar ini ada sedikit masalah kerana air masin sudah masuk ke muka sauk LRA Limbahau menyebabkan ia ditutup,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya alternatif pembenihan awan yang telah dipersetujui sebelum ini, Hajiji berkata ia akan dilakukan dalam masa terdekat dan tidak semestinya dilaksanakan di Papar.

“Pembenihan awan itu salah satu alternatif yang akan dibuat dan ini sudah dalam (perancangan) JANS untuk membuat pembenihan awan dalam masa terdekat.

“Ini boleh dilaksanakan di mana-mana termasuk di kawasan bukit untuk kita laksanakan pembenihan, jadi hujan akan turun ke bukit dan turun ke sungai jadi dapatlah air,” katanya. – SINAR HARIAN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top