Pembinaan Tangki Simpanan Atasi Masalah Air Di Kg Membalua, Batu Payung

nizam-tangki.jpg

TAWAU: Penduduk Kampung (Kg) Membalua dan Batu Payung boleh menarik nafas lega selepas pembinaan tangki simpanan air di kawasan itu siap dibina baru-baru ini.

Sebanyak 10 buah tangki berkapasiti keseluruhannya 4,000 gelen air yang ditempatkan di Kg Membalua itu mampu membekalkan kira-kira 390 buah rumah sekiranya berlaku catuan bekalan air.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pembinaan itu adalah pelan jangka pendek yang dilakukan pihaknya bagi mengatasi masalah bekalan air di kedua-dua kampung berkenaan.

“Kami selalu mendapat aduan berkenaan isu masalah air di kampung ini yang berlarutan dalam jangka masa yang lama.

“Justeru, masalah itu perlu ada satu solusi jangka masa pendek bagi mengatasinya sekurang-kurangnya sehingga  projek empangan air di Gudang Empat siap,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat tempat pembinaan rumah tangki air yang baru siap di Kg Membalua, di sini kelmarin.

Katanya, gangguan bekalan air bukan sahaja berlaku di kawasan ini, malah di kebanyakan daerah di negeri Sabah mengalami masalah yang sama.

“Walaupun daerah ini mempunyai tiga loji rawatan air, namun masih belum menampung keperluan penduduk Tawau yang semakin bertambah.

“Bagaimanapun, empangan air di Gudang Empat yang dijangka siap pada tahun 2024 itu akan dapat mengatasi masalah catuan air di daerah ini.

“Saya yakin komitmen kerajaan yang sedang berusaha menangani masalah air di Sabah akan memberikan khabar gembira kepada rakyat di negeri ini dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata pihaknya menzahirkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah yang memberikan peruntukan khas untuk pembinaan tersebut.

“Selain itu, terima kasih juga diucapkan kepada tuan tanah yang memberi kebenaran menempatkan tapak tangki simpanan tersebut untuk kegunaan penduduk,” katanya.

Menurutnya, Penduduk Kg Membalua dan Batu Payung boleh mendapatkan air di tangki ini secara percuma sekiranya Jabatan Air membuat catuan.

“Saya berharap penduduk di daerah ini supaya sentiasa berhemah dan jangan membazir dalam penggunaan bekalan air bersih.

“Gunakanlah air mengikut keperluan dan laporkan segera sekiranya mengetahui terdapat kebocoran paip agar tidak berlaku pembaziran,” katanya. – Utusan Borneo

 

Kredit foto: FB Apas Balung Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top