SOOK: Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Gantian Penuhdii SK Rancangan Belia Tiulon Keningau, Sooki.
Pembinaan bangunan baharu SK Rancangan Belia Tiulon merangkumi 6 unit bilik darjah, bangunan pentadbiran, 8 unit kuarters guru, sebuah Makmal Sains serta sebuah Bengkel Rekabentuk Teknologi dengan kos peruntukan sebanyak RM26.9 juta dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2026.
Projek ini merupakan inisatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan pembangunan infrastruktur pendidikan yang selesa dan selamat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Arthur berkata projek tersebut merealisasikan hasrat beliau dan KPM untuk membina sebuah sekolah yang lengkap di Kg. Rancangan Belia Tiulon sebagai langkah menampung permintaan masyarakat setempat yang semakin meningkat.
Jelasnya lagi, projek ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam bidang pendidikan berteraskan kepada keperluan rakyat bagi memastikan para pelajar mendapat infrastruktur dan persekitaran pendidikan yang selesa bagi membolehkan mereka mencapai perkembangan diri yang optimum.
Dalam pada itu, Arthur yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia di atas usaha berterusan untuk menaiktaraf dan membina baharu sekolah daif di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Sehingga kini, di Parlimen Pensiangan sebanyak 4 buah sekolah daif telah siap dinaiktaraf dan diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah iaitu SK Inandung, SK Simbuan, SK Penagatan dan SJK (C) Cheng Ming. Manakala SMK Tulid di dalam fasa perancangan dan SMK Nabawan sedang dalam fasa pembinaan.
Beliau percaya persekitaran pembelajaran memainkan peranan yang penting dalam menjamin keberkesanan pengajaran dan berharap dengan adanya fasiliti pendidikan yang kondusif dan selamat, para pelajar akan dapat memberi lebih penumpuan terhadap pembelajaran.