TENOM: Pembinaan Landasan kereta api daripada pekan Melalap ke Stesen Kereta api Tenom bukanlah keperluan utama sebagaimana yang diumumkan oleh kerajaan Warisan.
Calon Barisan Nasional (BN) dewan undangan negeri Melalap Jamawi Jaafar berkata, jajaran kereta api sebagai mana yang diwar-warkan oleh kerajaan Warisan bukan keperluan yang diharapkan oleh rakyat Melalap kerana dari Melalap Ke Tenom boleh menggunakan kereta yang hanya memakan 30 minit perjalanan ke Pekan Tenom.
“Pelaksanaan projek ini tidak efektif dan tidak dapat membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat selain merugikan dan membebankan kewangan kerajaan negeri dari segi pembinaan penyelanggaran dan subsidi,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan mesra bersama rakyat di Tamu pekan Tenom kemarin.
Menurut Jamawi tapak dan persekitaran stesen kereta api Melalap kini sudah menjadi penempatan penduduk kampung.
” Saya katakan kepada penduduk Melalap sekiranya BN memerintah dan saya diberikan mandat oleh rakyat Melalap sebagai wakil rakyat di sini pada 27 September ini kita akan meminta kerajaan membatalkan projek ini,” jelas Jamawi.
Jamawi berkata apa yang perlu diberikan keutamaan ialah menaik taraf jalan raya yang sedia ada untuk keselesaan penduduk malah mejoriti rakyat Melalap juga tidak menyahut baik rancangan membina landasan kereta api yang dicadangkan oleh kerajaan Wariasan ini.
Dalam pada itu Jamawi berkata beliau mempunyai perancangan yang lebih relevan bagi menjadikan stesen kereta api lama di Melalap sebagai muzium pelancongan yang lebih memberikan manafaat kepada penduduk di Melalap.
“Jika ini dapat dilaksanakan pelancong akan datang melawat ke Melalap dan dalam masa yang sama kita sediakan ruang niaga bagi penduduk tempatan memasarkan produk-produk pelancongan seperti kraftangan makanan dan budaya, ” katanya .
Menurut beliau perancangan ini lebih memanfaatkan kepada penduduk tempatan bagi memberikan impak positif terhadap peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat khususnya penduduk tempatan.
Sebelum ini penyandang Adun Melalap Datuk Peter Anthony telah merancang untuk melaksanakan pembangunan semula stesen kereta api Melalap dengan membina dan menaik taraf landasan kereta api Melalap Tenom yang dianggarkan menelan belanja RM10 juta.
“Daripada kita berbelanja puluhan juta untuk projek ini lebih baik kita peruntukan jumlah tersebut untuk membina kedai baharu di Pekan Melalap yang boleh memberikan manfaat kepada penduduk untuk melakukan aktiviti perniagaan, ” tambah Jamawi.