TAMPARULI: Proses pembinaan Jambatan Sawah-Sungai Damit, sini, kini berada di peringkat akhir.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, beliau telah diberi taklimat ringkas daripada jurutera yang terlibat mengenai status terkini pembinaan jambatan berkenaan.
“Saya telah dimaklumkan oleh jurutera yang terlibat, bahawa kerja-kerja sedang di peringkat akhir,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat bagi meninjau keadaan terkini jambatan yang bakal menghubungkan beberapa kampung ke Tuaran dan Tamparuli..
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak; dan beberapa pemimpin masyarakat lain.
Menurutnya, beliau dimaklumkan jurutera, sekiranya tiada halangan cuaca dan selepas dilawati oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), barulah akan diketahui perkembangan selanjutnya nanti, bila jambatan tersebut boleh digunakan oleh orang awam.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Jambatan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Petrocelli Joseph, dan turut dibantu Jurutera Daerah Tuaran, Farini Awang.
Lawatan tersebut merupakan susulan daripada lawatan kerja beliau pada 10 September lalu bagi melihat sendiri perkembangan jambatan berkenaan.
Pembinaan Jambatan Sungai Damit sepanjang 104 meter itu bermula pada April 2019.
Jambatan tersebut bakal memberi manfaat kepada kira-kira 7,000 penduduk kampung berdekatan seperti Kampung Sawah, Sungai Damit, Bintangor, Pitas, Bantayan, Damat, Bontoi dan Tamparuli.