Pembinaan Gantian SK Pekan Kimanis Dan SK Binsuluk Bermula Tahun Hadapan

mohamad-alamin.jpg
Kongsi Bersama

MEMBAKUT: Status pembinaan gantian penuh dua buah sekolah yang lama dan uzur di Parlimen Kimanis kini di peringkat akhir kata Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin.

Dua buah sekolah iaitu, Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kimanis dan SK Binsuluk dijangka mula dilaksanakan pembinaannya pada tahun hadapan selewat-lewatnya pada Februari atau Mac 2022.

“Anggaran peruntukan bagi melaksanakan projek gantian penuh bagi SK Pekan Kimanis adalah RM21 juta manakala bagi SK Binsulok adalah lebih kurang RM7 juta yang turut termasuk sebuah bangunan pra sekolah.

“Mudah-mudahan pelaksanaan projek gantian penuh bagi kedua-dua buah sekolah ini dapat mengatasi isu yang sekian lama dihadapi oleh sekolah terbabit yang sudah uzur dan pada masa sama menyelesaikan isu kepadatan murid.

“Saya percaya pelaksanaan projek ini juga akan memberi manfaat kepada murid-murid untuk meneruskan pembelajaran dalam persekitaran yang selesa serta kondusif dan sudah pasti masyarakat di sekitarnya juga menyambut baik perkembangan ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja dan tinjauan ke dua buah sekolah itu pada Jumaat.

Sempena lawatan itu, Mohamad serta rombongan turut mengadakan lawatan ke Sekolah Integrasi Kaliah Khan (SIKK) di Membakut yang dalam perancangan untuk diserap menjadi Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Lawatan beliau ke SIKK itu bertujuan memastikan syarat-syarat untuk diserap menjadi SABK menepati kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Jelas beliau, KPM mempunyai program untuk membantu mana-mana Sekolah Integrasi menjadi salah sebuah SABK dan program berkenaan telahpun dibuat dan dilaksanakan di seluruh negara.

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top