Pembinaan CCRC Kedua Sabah Dalam Proses Pengambilan Tanah

shahelmy.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pembinaan Pusat Pemulihan Cure & Care (CCRC) kedua Sabah yang akan dibina di Tawau sedang dalam proses pengambilan tanah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmy Yahya berkata, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sedang mendapatkan tanah bagi pembinaan pusat pemulihan tersebut.

Sebelum ini Ketua Pengarah AADK Datuk Seri Zulkifli Abdullah memaklumkan pembinaan CCRC di Kalabakan itu dianggarkan bernilai RM100 juta dan mampu menempatkan 200 hingga 300 penghuni.

Pembinaan CCRC kedua Sabah itu dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan yang dialami di CCRC Papar berikutan jumlah penagih yang menjalani proses pemulihan telah melebihi kapasiti sebenar.

Shahelmy berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jaujan Sambakong (Warisan-Sulabayan) mengenai kos bagi pusat pemulihan di CCRC di negeri ini.

Katanya, setiap tahun kerajaan membelanjakan RM550,000 bagi pelaksanaan program kesedaran anti dadah dan kerjasama dengan AADK dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam pada itu, Shahelmy berkata, kementerian juga komited untuk melipatgandakan usaha ke arah kecemerlangan sistem penyampaian mereka dalam memartabatkan konsep merakyatkan perkhidmatan kementerian dan agensi dibawahnya.

Dengan itu, kementerian juga menyasarkan pengwujudan beberapa perkhidmatan atas talian pada tahun depan iaitu D-BaSS (Sistem Pengurusan Bantuan Sosial Sekolah), D-Bantuan (pengurusan bantuan-bantuan JPKA), DeWI (Sistem Maklumat Wanita), D-Skill (latihan kemahiran), D-Volunteer (kesukarelawanan) dan D-Care (institusi jagaan/pemulihan).

Selain itu, kementerian juga telah memulakan proses permohonan dana badan bukan kerajaan (NGO) melalui laman web kementerian. – Borneo Today


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top