Pembentangan RUU Baharu Bakal Ubah Landskap Persekutuan Malaysia – Salleh

ssk.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menjangkakan landskap Persekutuan Malaysia berubah selepas kerajaan membentangkan rang undang-undang untuk mengembalikan hak sama rata kepada Sabah dan Sarawak.

Oleh yang demikian, bekas Ketua Menteri Sabah itu berharap semua pemimpin dapat bersatu hati dan mengetepikan sentimen politik dalam menjayakan usaha berkenaan.

“Kita nantikan dengan sabar perubahan progresif yang boleh memperkasakan hak Sabah dan Sarawak.

“Besar harapan kita agar pemimpin bermuafakat dan ketepikan sentimen politik dalam perkara ini. Ini kerana perubahan ini penting untuk tetapkan hala tuju kita dalam Malaysia sebagai rakan kongsi bersama,” katanya dalam catatan di Facebook.

Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) bersetuju melaksanakan pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan itu dipersetujui pada mesyuarat MKMA63 hampir tiga jam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin.

“Mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan pindaan bagi mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu. Pindaan itu juga akan mentakrif semula maksud Persekutuan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Cadangan pindaan itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut mengetuai Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu MKMA63.

Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, MKMA63 bersetuju agar cadangan pindaan RUU itu dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang.

“MKMA63 akan terus membincangkan perkara tertunggak dan memastikan hak rakyat Sabah dan Sarawak dipulihkan, terutamanya melalui jawatankuasa penyelesaian masalah di bawah MKMA63,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top