KOTA KINABALU: Beberapa pasar raya di sekitar bandar raya ini dan daerah berhampiran, mula mengehadkan pembelian tepung gandum kepada hanya dua paket bagi setiap pembeli, demikian lapor Berita Harian.
Menurut laporan itu tindakan tersebut difahamkan bertujuan memastikan pengguna tidak membeli dalam jumlah banyak supaya lebih ramai pengguna berpeluang mendapatkannya berikutan bekalannya dilaporkan menyusut.
Kata laporan itu lagi, tinjauan di sebuah pasar raya di Putatan di sini, mendapati had belian dua paket tepung gandum bagi setiap pembeli dilaksanakan bermula kelmarin.
Jumlah tepung gandum yang boleh didapati juga kelihatan sedikit, selain hanya satu atau dua jenama dijual berbanding lebih daripada itu sebelum ini.
Di pasar raya Bataras Putatan di sini, Tepung Gandum Cap Rama-Rama dengan berat sekilogram sepaket dijual pada harga RM3.48, manakala jenama Tepung Gandum Cap Ros seberat 850 gram dijual RM2.60 sepaket.
Sementara itu, harga ayam bulat jenis super di pasar raya sama dijual RM10.98 sekilogram, masih di bawah harga kawalan namun bahagian ayam khususnya kepak naik kepada RM15 sekilogram berbanding antara RM11.90 hingga RM13 sekilogram sebelum ini.
Kepak adalah bahagian ayam yang mendapat permintaan tinggi pengguna di Sabah dengan sebahagian bekalan diimport.