Pembeli rumah PR1MA di Sabah terima ganti rugi RM3.4 juta

Akmal-Nasrullah-Mohd-Nasir.jpg

Akmal Nasrullah

Kongsi Bersama

BEAUFORT: Seramai 204 pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Woodford Estate Fasa 1 di sini, menerima Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) bernilai RM3.4 juta, berikutan kelewatan penyiapan projek itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pembeli rumah terbabit juga dilindungi di bawah Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama dua tahun seperti termaktub di dalam Perjanjian Jual Beli (SPA).

Katanya, Residensi Woodford Estate adalah antara projek PR1MA yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ berikutan kegagalan pemaju menyiapkannya dalam tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, fasa satu projek itu yang membabitkan pembinaan 300 unit rumah teres akhirnya dapat disiapkan pada awal tahun ini dan menerima sijil menduduki (OC) pada 20 Februari lalu.

“PR1MA kemudian mengeluarkan notis Milikan Kosong (VP) kepada semua pembeli pada Mei lalu, disusuli proses penyerahan kunci dan sehingga kini seramai 219 pembeli sudah menerima kunci mereka, manakala sebanyak 30 unit kediaman sudah dihuni, setakat 3 Ogos lalu.

“Penyelesaian projek ini adalah hasil kerjasama PR1MA dan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkepentingan lain,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau projek itu, di sini, kelmarin.

Projek Residensi Woodford Estate Fasa 1 dilaksanakan kontraktor lantikan PR1MA, Gaya Belian Sdn Bhd sejak kira-kira lima tahun lalu membabitkan pembinaan 300 unit rumah teres dengan keluasan antara 1,084 hingga 1,134 kaki persegi serta dilengkapi dewan serbaguna, taska, tadika dan surau.

Akmal berkata, bagi projek fasa dua, PR1MA akan menentukan semula pelaksanaannya dengan mengambil kira faktor keupayaan kontraktor baharu yang akan dilantik, kaedah pelantikan kontraktor secara tender terbuka dan mengutamakan kebajikan pembeli.

“Oleh itu, langkah-langkah yang akan diambil bagi memberi laluan terhadap penetapan hala tuju baharu adalah dengan memuktamadkan Perjanjian Penamatan Bersama dengan kontraktor asal, memajukan permohonan pembatalan lesen pemajuan projek dan menamatkan Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan 81 orang pembeli sedia ada,” katanya. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top