Pembebasan Najib lebih bernilai berbanding Zahid – KJ

KJ.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyifatkan pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih membawa nilai lebih besar kepada Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) berbanding Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi episod baharu podcast Keluar Sekejap bersama Shahril Hamdan semalam, Khairy berkata pembebasan Najib sekurang-kurangnya memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.

“Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang bebaskan Zahid, bebaskan saja Najib. Sekurang-kurangnya dia ada nilai tambah kepada BN-PH.

“Bandingkan ‘Bossku’ (Najib) dengan Zahid, (orang) yang akan bagi nilai tambah untuk kekang ‘gelombang hijau’ adalah Najib. Apa yang dia (Zahid) boleh buat? Dia tiada nilai tambah,” katanya.

Pada Isnin, selepas 77 hari dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan berkenaan kepada mahkamah.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Khairy menyifatkan kerajaan kini melakukan ‘kitchen-sink’ iaitu melakukan perkara buruk dan berharap keadaan akan pulih kemudian.

“Kitchen-sink semua benda dan bebaskan Najib kerana dia akan bawa lebih nilai kepada anda. Anda sudah kuburkan kemurnian Malaysia. Berikan pengampunan,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy sempat memaklumkan Isnin lepas adalah ulang tahun ke-25 reformasi dan keputusan untuk membebaskan Zahid menjadikan perkara yang dilaungkan sebelum ini ‘dibatu nisankan’.

“Inilah harga yang perlu dibayar untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Saya pun rasa kasihan kepada Anwar kerana Isnin (4 September) ialah ulang tahun ke-25 reformasi, tapi hari itu (reformasi) dibatu nisankan, jadi reformati.

“Banyak cabaran dilalui oleh beliau untuk menjadi Perdana Menteri dan kalau kita tengok kepada pembentukan karektor, dia mesti mahu pengakhiran yang baik untuk beliau tapi dia kena usung benda ini,” katanya.

Malah Khairy turut mempersendakan agenda perjuangan kerajaan untuk meningkatkan tata kelola yang baik kini namun semuanya berubah dan menjadi ‘tata ke laut’.

Khairy berkata, beliau mungkin akan keluar selama-lamanya daripada arena politik.

“Ia sangat menyedihkan, saya rasa begitu sedih bahawa kita dah sampai tahap ini. Mungkin perkiraan Perdana Menteri dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi orang pun dah lupa akan ada isu baru, skandal, jadi dia fikir buat perkiraan, benda buruk lepaskan dulu,” katanya.

Jelas Khairy, dalam kes Zahid bukan mahkamah yang putuskan keputusan untuk menghentikan prosiding sebaliknya ia adalah kuasa mutlak Peguam Negara.

“Dalam kes ini sama ada Peguam Negara dapat arahan atau tidak, tapi walaupun kita tak boleh membuat tuduhan tapi kita bukannya lahir semalam.

“Bila dah ada prima facie kes, bela la diri, akhir kan semuanya. Tapi kenapa bila dah ada prima facie pendakwa raya tarik balik kes berkenaan? Kalau ada memo gunalah dalam pembelaan.

“Ada surat kepada Peguam Negara tak ubah prima facie, nak tutup kes. Matlamat menghalalkan cara kononnya DNAA, boleh buat tuduh kemudian, tapi saya rasa dia tak akan dituduh semula,” katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril turut mempersoalkan kini siapa lagi mahu memperjuangkan reformasi institusi dan kini tak ada siapa lagi nak percaya mengenai tata kelola dan tadbir urus lagi.

“Malaysia ke mana selepas ini?” soal Shahril.

Tambah beliau, mungkin Anwar dan penyokongnya rasa ini harga yang ‘okey’ untuk mereka bayar kerana Anwar akan jadi Perdana Menteri yang hebat serta menyelamatkan ekonomi negara. – HMetro

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top