Pembayaran 40% hasil negeri dapat bantu Sabah tangani kemiskinan – Ketua Penerangan GRS

joniston.jpg

Datuk Joniston Bangkuai (Gambar fail)

KOTA KINABALU: Pengembalian hak Sabah, termasuk tuntutan 40% akan dapat membantu kerajaan menangani isu seperti kemiskinan secara berkesan, kata Ketua Penerangan Gabungan Datuk Joniston Bangkuai.

Menurut beliau negeri ini akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menangani kemiskinan sekiranya hasil bersih 40% yang ‘dihutang’ oleh Putrajaya kepada Sabah dilunaskan.

Beliau berkata pendedahan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Parlimen mengenai kadar kemiskinan yang tinggi di Sabah menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedar apa yang perlu dilakukan, dan dana serta peruntukan yang mencukupi adalah penting.

Justeru, katanya, kerajaan pusat harus mempercepatkan pemulihan hak Sabah, hasil cukai, serta kawalan sumber minyak dan gasnya.

“Kerajaan negeri akan berusaha untuk kepentingan rakyat, tetapi kita perlu sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Dengan menunjukkan bahawa mereka tahu apa yang diperlukan untuk membasmi kemiskinan di Sabah, saya percaya adalah wajar untuk Putrajaya memulihkan hak negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Khamis lalu, Rafizi memberitahu Dewan Rakyat bahawa kemiskinan tegar di Sabah adalah enam kali ganda berbanding kadar nasional.

Menurut menteri itu kadar kemiskinan tegar di Sabah berada pada 1.2%, berbeza dengan kadar nasional 0.2%.

Bangkuai yang juga ADUN Kiulu berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan menyediakan kemudahan asas, infrastruktur dan pembangunan.

Beliau berkata kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor telah merangka pelan induk yang komprehensif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi ia akan mengambil masa untuk menjadi kenyataan.

Beliau juga berkata kerajaan negeri GRS-Pakatan Harapan secara konsisten meneruskan usaha mengurangkan kemiskinan di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya.

“Kemiskinan telah menjadi isu berterusan di Sabah dan topik yang selalu digunakan oleh pembangkang untuk memancing sentimen dan sokongan orang ramai.

“Janganlah kita menuding jari kepada sesiapa tetapi bekerjasamalah mencari jalan penyelesaian,” tambah Bangkuai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top