Pembantu Menteri Dilantik Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah

joniston-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai antara pengerusi ahli lembaga pengarah bagi agensi kerajaan negeri yang dilantik kelmarin.

Joniston dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) yang baharu.

Beliau bersama empat pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah lain menerima watikah pelantikan itu dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah empat agensi negeri, di sini.

Lantikan ahli-ahli lembaga pengarah ini adalah bagi tempoh Dis 2020 hingga 30 Nov 2023.

Turut menerima pelantikan adalah Titing Putang selaku Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS); Datuk Askalani Abdul Rahim selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dan Datuk Dr Zaki Gusmiah selaku Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah.

Dalam majlis itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, pelantikan ini merupakan satu kepercayaan dan mandat besar yang diberikan oleh kerajaan negeri maka, beliau berharap semua yang dilantik dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

“Saya percaya dengan pengalaman serta pengetahuan yang luas yang ada pada anda pastinya dapat menyumbang idea-idea baharu sekaligus bersama-sama kerajaan negeri dalam mencapai misi dan visi kementerian ini,” katanya.

Beliau juga berharap barisan ahli lembaga pengarah, lembaga kebudayaan negeri sabah juga dapat menggabungkan seni budaya dalam industri pelancongan.

Jafry berkata, beliau yakin dan percaya, jika kebudayaan dapat dimasukkan dalam mana-mana pakej lawatan pelancongan di Sabah, industri pelancongan akan berkembang maju sekaligus memberi impak positif yang lebih besar terhadap ekonomi negeri dalam tempoh fasa pemulihan ini.

Tambahnya, biarpun tahun ini bukan tahun yang baik untuk sektor pelancongan namun kerajaan komited untuk meneruskan pembangunan prasarana termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan sedia ada.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top