Pembantu Menteri Dakwa Sudah Berbulan Bekerja Tapi Belum Dibayar Gaji

pmo-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Setiausaha akhbar beberapa menteri Persekutuan mengadu belum dibayar gaji, walaupun mereka bertugas sejak beberapa bulan lalu, lapor FMT.

Menurut laporan itu, ada dalam kalangan mereka mendakwa langsung tidak dimaklumkan mengenai kelewatan pembayaran itu.

Tiga setiausaha akhbar yang enggan dinamakan memberitahu FMT, mereka tidak dapat meneruskan tugas tanpa gaji dan mungkin akan berhenti.

Seorang daripadanya berkata, dia teringin ke bidang korporat yang menawarkan gaji lebih tinggi, tetapi tidak mahu “meninggalkan menteri separuh jalan”.

Seorang lagi yang telah berkhidmat selama enam bulan berkata, ada pembantu yang tidak dibayar “sesen pun tahun ini”.

“Saya hanya mendapat elaun apabila melakukan perjalanan ke luar. Jika tidak, saya hidup dengan wang simpanan yang saya rasa hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun. Saya sangat seronok bekerja di kementerian, tetapi saya tidak fikir boleh bertahan sehingga Disember jika tiada gaji.”

Laporan itu memetik pembantu tersebut sebagai berkata, setiausaha akhbar dimaklumkan kelewatan pembayaran gaji itu disebabkan perdana menteri belum menandatangani surat pelantikan mereka.

Pegawai kementerian menunjukkan kertas kerja untuk membuktikan mereka berusaha mendapatkan pembayaran gaji dan hanya menunggu Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani surat itu.

“Saya tidak tahu kenapa berlaku kelewatan. Saya pun tidak tahu berapa banyak yang akan saya terima,” kata sumber itu sambil menambah menteri pun tidak tahu berapa banyak gaji mereka.

Seorang lagi setiausaha akhbar berkata, mereka sudah menulis surat kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui setiausaha sulit kanan menteri, tetapi belum mendapat maklum balas.

FMT berkata pihaknya sedang mendapatkan komen Pejabat Perdana Menteri dan JPA.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top