Pembangunan Untuk Sabah Tidak Boleh Guna Pendekatan Ekonomi Sahaja – Penganalisis

madeline.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Faktor geografi dan penduduk merupakan penyebab utama ekonomi dan pembangunan di Sabah agak tercicir sedikit berbanding negeri lain di Semenanjung, demikian kata penganalisis ekonomi yang juga Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma.

Katanya, Sabah dan Sarawak memiliki keluasan yang lebih besar dari Semenanjung, namun jumlah penduduknya sedikit, menyebabkan dari sudut pelaburan ekonomi ia tidak begitu kompetitif.

“Kalau kita mengkaji geografi Sabah, salah satu faktor penduduk kecil, tapi negeri lebih besar dari Semenanjung. Dari segi ekonomi, apabila ada infrastruktur yang banyak, kita perlu penduduk, dan kita perlu juga pulangan, bukan melabur saja.

“Kalau kita guna pendekatan ekonomi saja, sampai bila Sabah dan Sarawak nak ada pembangunan. Maknanya, yang penting adalah bagaimana kita agih peruntukan mengikut keperluan. Kita boleh beri sama rata sebab kita ada 14 negeri.

“Kita bagi sama banyak dengan Selangor, Perlis dan lain-lain tetapi yang dilakukan kita adalah kesaksamaan, iaitu diberi mengikut keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ruang Bicara: Ekonomi Kemakmuran Sabah terbitan BERNAMA TV yang disiarkan menerusi Facebook Live malam tadi.

Penganalisis itu juga menyuarakan keyakinan bahawa perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin jujur untuk membangunkan Malaysia terutama Sabah, bagi melihat negeri itu menerima impak pembangunan yang sama seperti Semenanjung.

Beliau berkata pendekatan itu dibawa Perdana Menteri dalam ucapannya termasuk ketika membentang manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Saya yakin Perdana Menteri jujur dalam keinginan dia untuk membangunkan Malaysia menerusi pendekatannya iaitu kemakmuran bersama.

“Ungkapan seperti kemakmuran bersama sering disebutnya. Ia juga dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Kalau ia diletakkan dalam dokumen rasmi, maknanya ada komitmen dan kesungguhan di situ. Beliau pun sebut, (orang) Sabah dan Sarawak boleh semak ini, maknanya janji pertumbuhan ekonomi semak dan imbang ini sudah mula ada,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top