Pembangunan, Sungai Tercemar Antara Punca Bekalan Air Tidak Mampu Ditampung

Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abd Wahid

KOTA KINABALU : Masalah gangguan bekalan air bukanlah isu baharu yang berlaku di Kota Kinabalu khususnya di Sepanggar, sebaliknya ia  berlaku sejak tahun 2013 lagi  dan keadaan bertambah buruk pada tahun 2018 kesan kepesatan pembangunan termasuklah kewujudan kawasan-kawasan perumahan baharu di kawasan itu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, berikutan kepesatan pembangunan yang berlaku, bekalan air terawat tidak dapat menampung keperluan pengguna yang semakin bertambah.

“Beberapa faktor lain turut menjejaskan bekalan air bersih antaranya sungai (air mentah) yang tercemar dan menyebabkan air berkenaan tidak dapat diproses mengakibatkan loji air terpaksa ditutup.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan paip pecah atau masalah teknikal lain turut menyebabkan bekalan air bersih tidak dapat disalurkan dengan baik,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman kononnya kerajaan khususnya  Jabatan Air Sabah tidak membantu dalam menyalurkan bantuan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan Sabah tidak pernah mengabaikan isu yang membabitkan keperluan rakyat khususnya bekalan air bersih dan telah mengambil tindakan proaktif bagi menanganinya.

Katanya, kerajaan juga telah mengambil keputusan bagi melaksanakan rancangan pemulihan secara berperingkat dalam tempoh satu hingga lima tahun dan rancangan ini akan mengambil masa.

“Ini adalah antara tindakan proaktif kita dalam menangani isu gangguan bekalan air bersih termasuk di Sepanggar dan pada peringkat pertama, ia akan dilaksanakan serta merta dalam masa setahun ini.

“Ini termasuklah menghantar bantuan air kepada mereka yang terjejas teruk sementara menunggu projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Fasa Dua siap sepenuhnya,”katanya.

Sementara itu, Bung meminta agar pihak terbabit tidak mencari ‘political mileage’ berhubung isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Sepanggar dan sekitarnya dengan mendakwa kerajaan mengabaikan keperluan rakyat.

Katanya, Jabatan Air Sabah telah menghantar bekalan air bersih melalui lori tangki setiap hari di kawasan yang terlibat berjumlah 2,200,000 liter air sementara JETAMA turut membantu 1,365,000 liter menjadikan jumlah keseluruhan 3,585,000 liter air sejak Januari lalu.

 

 

“Penghantaran bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas selain catuan dibuat Jabatan Air secara bergilir-gilir di kawasan tersebut.

“Dakwaan kononnya Jabatan Air tidak membantu merupakan satu pembohongan malah saya sendiri turun padang melihat kawasan yang terjejas dan turut meminta kepada pihak pemaju di kawasan perumahan berkenaan untuk menambah bilangan tangki air sebagai tempat stok penyimpanan namun tidak dilaksanakan pemaju terlibat, “Katanya

Mengenai dakwaan  Azis yang beliau  membantu menyewa lori dan menghantar air  kepada penduduk yang terjejas di kawasan tersebut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag berkata sebagai Ahli Parlimen di kawasan tersebut sudah menjadi tanggungjawab Azis menjaga kebajikan rakyat yang beliau wakili.

“ Cabaran dalam menangani isu bekalan air bersih di negeri ini bukan hanya terletak di atas bahu Kementerian Kerja Raya malah siapa sahaja  wakil rakyat semasa perlu melihat isu ini sebagai keutamaan kerana air merupakan keperluan asas utama rakyat,” tambah Bung.

Dalam perkembangan sama, Bung berkata, beberapa cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan dan pihak kerajaan telah bersetuju atas cadangan yang dikemukakan termasuklah cadangan pembinaan kolam Takungan Air Mentah di setiap LRA di Sabah bagi menangani isu bekalan air.

“Bagi tindakan jangka panjang  proses perolehan  bagi Empangan Papar juga akan dilaksanakan di mana kerja-kerja fizikalnya disiapkan dalam tempoh 5 tahun.

“Sekiranya perancangan tidak dilakukan secara teliti dalam menangani isu air di negeri ini, kesannya untuk jangka panjang akan lebih buruk dan pengguna akan berterusan menghadapi krisis bekalan air bersih,”katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *