Pembangunan Sama Rata Kepada Semua Komuniti

hajiji-2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memastikan semua masyarakat di Sabah akan diberi pembangunan yang sama rata.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor percaya bahawa pentadbiran GRS telah mencapai pelbagai kejayaan selepas kemenangannya pada pilihan raya negeri yang lalu.

“Saya berterima kasih kepada rakyat khususnya masyarakat Cina atas sokongan berterusan mereka dengan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membawa kemakmuran kepada Sabah,” katanya pada majlis pelancaran Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Tahun Baharu Cina 2022, di sini pada Sabtu .

Pengerusi GRS itu berkata adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar rakyat terus menyokong dengan menjadi rakan kongsi dalam kemajuan bagi merealisasikan agenda pembangunan kerajaan.

Hajiji menekankan sekali lagi bahawa kerajaan negeri sentiasa memberikan keutamaan pembangunan modal insan dan kebajikan rakyat dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM164.12 juta pada Bajet Negeri 2022 kepada agensi berkaitan, pendidikan dan badan keagamaan.

“Selari dengan semangat Keluarga Malaysia, peruntukan itu akan memberikan manfaat kepada semua bangsa dan agama di Sabah.

“Peruntukan terbesar pernah diluluskan kerajaan negeri berjumlah RM47 juta kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah vernakular termasuklah sekolah mubaligh pada tahun ini. Ini bukti kerajaan negeri ikhlas terhadap kebajikan semua rakyat di Sabah,” katanya.

Berkaitan dengan Tahun Baharu Cina, Hajiji percaya rakyat Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan tahun Harimau yang membawa lambang kekuatan, dan keberanian khususnya menghadapi  cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

“Saya percaya, keadaan akan bertambah baik dalam tahun ini,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top