Pembangunan Projek TAED Berorientasikan Rakyat – KM

Hajiji-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) yang disemak semula dan diperhalusi akan memfokuskan kepada ciri-ciri yang berorientasikan keperluan rakyat dengan menggabungkan penyediaan lebih banyak ruang dan kebolehcapaian orang awam.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata demikian selepas mempengerusikan buat pertama kalinya Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TAED di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Katanya, Pantai Tanjung Aru yang ikonik dan Taman Prince Philip akan dikekalkan, diperbaiki dan diperindahkan agar orang ramai dapat menikmati kawasan berkenaan.

Tambah beliau, pembangunan baharu di kawasan berkenaan akan memastikan kelestarian selain mengambil kira kepentingan inisiatif hijau.

“Kerajaan negeri turut memutuskan tidak akan menanggung kos pelaksanaan projek berkenaan dan semua projek TAED harus ditanggung sepenuhnya oleh pihak pelabur yang dipersetujui kerajaan termasuk secara kewangan, ekonomi dan sosial.

“Kita mesti ingat selain keuntungan yang membabitkan kewangan, perkara melibatkan pulangan ekonomi dan sosial juga sama pentingnya.

“Ini termasuk jumlah pekerjaan dan peluang perniagaan yang akan dihasilkan oleh TAED dan sumbangannya terhadap pembangunan sektor pelancongan,” katanya.

Hajiji berkata, beberapa syarikat menunjukkan minat terhadap pembangunan TAED antaranya syarikat berkaitan kerajaan China, China Railway Construction Company International Investment Group Ltd melalui syarikat usahasama tempatannya, Mesra Melia Sdn Bhd.

Menurutnya, selepas kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri sejak September tahun lepas, GRS memutuskan projek TAED akan dilanjutkan setelah semakan dibuat untuk mengurangkan skala pelaksanaannya.

Sementara itu, Ahli Lembaga TAED juga memutuskan untuk mengecualikan dua sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru I dan SK Tanjung Aru II dari termasuk dalam pembangunan projek berkenaan.

Menerusi Rancangan Pembangunan Induk TAED sebelum ini, turut diusulkan agar sekolah-sekolah terbabit dipindahkan ke Kampung Tanjung Aru yang akan melibatkan pengambilan tanah.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top