Pembangunan pendidikan keutamaan dalam Hala Tuju SMJ – Hajiji

Hajiji-Tuaran.jpg

Hajiji (tengah) bersama para penderma memotong riben selepas perasmian bangunan serbaguna Eng Ket Thong di SJK (C) Chen Shin Tuaran pada Sabtu. Turut kelihatan ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew dan ADUN Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya.

Kongsi Bersama

TUARAN: Kerajaan negeri memberi komitmen sepenuhnya dalam meningkatkan pembangunan pendidikan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pendidikan menjadi keutamaan kerana ia penting dalam melahirkan rakyat yang berilmu dan berpengetahuan yang akan memacu pembangunan serta kemajuan negeri.

“Kerajaan negeri memberi penekanan utama ke atas pembangunan pendidikan bagi memastikan rakyat negeri ini terus mendapat pendidikan yang terbaik dan sempurna.

“Jika rakyat mempunyai pendidikan dan pelbagai kemahiran, ini akan membantu kita membangunkan negeri ini.

“Ini juga selari dengan salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Modal lnsan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Keterlibatan dan komitmen semua pihak diperlukan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara terutama dalam komitmen kerajaan bagi melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berdaya saing.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dan akses pendidikan kondusif dapat dilaksanakan melalui kerjasama padu pelbagai pihak yang ingin menyumbang bakti ke arah mempertingkat kecemerlangan pendidikan di negeri ini,” katanya ketika merasmikan Bangunan Serbaguna Baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chen Sin Tuaran di SJKC Chen Sin, Tuaran pada Sabtu.

Katanya, kerajaan negeri tidak mengabaikan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, termasuk dalam aspek pendidikan.

“Tidak kira sekolah Cina atau kebangsaan, kerajaan negeri akan terus membantu untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna.

“Malah, pelbagai inisiatif kerajaan negeri sediakan bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna seperti biasiswa dan pinjaman selain bantuan one-off kepada pelajar yang mendapat tawaran ke institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah untuk membantu pelajar yang tidak mendapat bantuan biasiswa. Sebenarnya banyak inisiatif yang disediakan kerajaan bagi membantu rakyat di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memberi keutamaan untuk membangunkan TVET di negeri ini dan ia akan diperluaskan ke seluruh negeri.

“Anak-anak kita perlu diberi kemahiran dalam bidang teknologi agar mendapat peluang yang sama seperti anak-anak lain di negara ini,” katanya.

Mengenai majlis berkenaan, beliau berkata bangunan serbaguna baharu SJKC Chen Sin itu mampu memberi keselesaan dan kesejahteraan prasarana pendidikan kepada murid-murid di sekolah berkenaan.

“Hari ini kita berasa gembira kerana dapat menyaksikan kejayaan pembinaan bangunan serbaguna baharu sekolah ini. Malah, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan ini kerana saya tahu kepentingan pendidikan.

“Saya tidak kira sekolah jenis apa, tanpa mengira bangsa dan agama, jika untuk meningkatkan pendidikan, saya akan bantu.

“Bangunan ini juga adalah bukti hasil kerjasama padu daripada semua untuk memastikan prasarana pendidikan yang kondusif khususnya kepada murid-murid sekolah ini dapat disediakan,” katanya.

Bangunan serbaguna baharu empat tingkat dengan kos sebanyak RM4.2 juta itu telah siap pada bulan Ogos 2023 lalu. Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan pembelajaran kepada pelajar seperti bilik muzik, reka bentuk dan teknologi (RTB), multimedia, sains dan perpustakaan – Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top