KOTA KINABALU: Isu berkaitan keselamatan dan pembangunan ekonomi menjadi antara agenda yang dibincangkan lebih lanjut semasa kunjungan hormat Perutusan Khas (Special Envoy) BIMP-EAGA Sabah; Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan rombongan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, di sini, pada Khamis.
Dr Maximus berkata isu tersebut menjadi isu utama yang diketengahkan semasa mesyuarat lebih kurang dua jam itu, di mana perkara berkaitan kehadiran ramai pendatang tanpa izin di Sabah dan pekerja asing dari negara jiran, serta perkembangan terkini Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur- Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) turut disentuh.
“Kami turut menyentuh cadangan Indonesia memindahkan ibu negaranya ke Nusantara di Kalimantan, serta kesan limpahan ekonomi ke atas Sabah dan cabaran yang akan datang. Kami akan membuat lawatan ke sana tidak lama lagi.
“Selain itu, kami melihat potensi industri kelapa di Selatan Filipina,” katanya.
Dr Maximus berkata kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak memainkan peranan utama dalam menghidupkan semula BIMP-EAGA sebagai penyelesaian untuk pemulihan sosio-ekonomi, sambil menambah bahawa langkah itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri dari segi ekonomi.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Jonnybone Kurum.
Kredit foto: FB Maximus Johnity Ongkili