Pembangunan Digital, Peluang Ekonomi dan Peluang Pekerjaan Jadi Keutamaan Salleh di Usukan

SSK2.jpg
Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Pembangunan digital akan menjadi salah satu keutamaan Datuk Seri Dr Salleh Tun Said sekiranya terpilih mewakili DUN Usukan pada PRN nanti.

Menurut beliau pembangunan digital akan membuka peluang-peluang ekonomi baharu dan sebagainya pada masa depan.

“Kota Belud ini terikat dengan politik pembangunan dan sudah pasti rakyat khususnya pengundi di DUN Usukan melihat soal ini dan pada saya kelangsungan soal pembangunan digital amatlah perlu.

“Semasa saya menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia dahulu, kerajaan persekutuan juga telah menyediakan lebih RM100 juta peruntukan untuk menaiktaraf kemudahan internet daripada Kudat, Kota Marudu ke Kota Belud tetapi apabila Warisan mengambil alih kerajaan, perkara itu tidak dilaksanakan.

“Saya ingin meneruskan usaha-usaha tersebut kerana pada saya kalau kita berbicara soal ekonomi kita tidak boleh pisahkan dengan (hakikat bahawa) kemudahan internet perlu ada di kawasan ini,” ujarnya.

Salleh berkata, semasa menjadi menteri dalam kabinet persekutuan juga beliau telah melancarkan program digital di Kota Belud agar daerah itu tidak ketinggalan dalam proses pembangunan digital.

“Kemudahan internet yang laju bukan sahaja perlu di bandar-bandar tetapi juga harus dinikmati di luar bandar,” katanya sebagaimana dilaporkan Umno Online.

Selain pembangunan digital Salleh akan turut memberikan penekanan pada soal pembangunan infrastruktur.

“Kalau dilihat di kawasan Usukan ini umumnya prasarana sudah tersedia sejak BN memerintah lagi tetapi ia tidak mencukupi. Kita ingin tentukan agar prasarana itu terus dipertingkatkan seiring dengan perkembangan masa depan yang lebih mencabar.

Di samping itu dua aspek yang akan diberi perhatian khusus oleh beliau ialah politik pembangunan, pertamanya, untuk mencipta peluang ekonomi dan kedua, mencipta peluang pekerjaan yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Salleh yakin rakyat Sabah ingin mengubah balik sokongan setelah Warisan dilihat tidak menunaikan janji-janji mereka selain tidak memberi tumpuan untuk membangunkan negeri, sebaliknya lebih banyak berpolitik semata-mata.

“Ini sesuatu yang tidak sihat untuk negara kita, tambahan pula Warisan bukan sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, jadi sudah tentu proses pemerintahan tidak licin seperti mana yang kita harapkan,’’ tambahnya.

Sebab itulah, tegas beliau, masyarakat harus diberi kefahaman bahawa PRN ini bukan sekadar memilih wakil rakyat tetapi memilih sebuah kerajaan baharu yang akan meneruskan usaha-usaha merancakkan pembangunan di Sabah sebagaimana yang pernah dijalankan oleh kerajaan BN dahulu.

 

Foto: FB SSK

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top