Pembangunan Di Bawah RMK12: Sabah Antara Enam Negeri Yang Diberi Tumpuan

PM-di-Kuching.jpg
Kongsi Bersama

KUCHING: Sabah adalah salah satu daripada enam negeri kurang membangun yang akan diberi keutamaan dalam peruntukan pembangunan asas persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, di sini malam tadi.

Beliau berkata, sejajar dasar Keluarga Malaysia, pembangunan sosioekonomi negara di negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan.

“Sarawak antara enam negeri itu, selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama,” katanya.

Menurut beliau, sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam RMK12 akan diagihkan kepada enam negeri terbabit.

Katanya, peruntukan itu melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

“Pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan minggu hadapan.

“Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” tegas beliau.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top