Pembangkang Sedia Bertemu PM Berhubung Belanjawan 2021

salahuddin.jpg

Agriculture and Agro-based Industry Minister Datuk Salahuddin Ayub at a press conference after he visited the preparation for National Farmers, Livestock Breeders and Fishermen Day (HPPNK) 2019 celebration @ Padang A, Angsana Mall, Johor Baru

Kongsi Bersama

Pembangkang bersedia dipanggil dan bertemu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat depan, kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Kami bersikap objektif, jika ia demi rakyat dan negara, kami akan sokong. Untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mahu kerajaan ini berjalan dan belanjawan ini diluluskan, jadi panggil kami.

“Kami ada pasukan yang mampu menyalurkan buah fikiran dan idea terbaik. Kami bersedia pada bila-bila masa, panggil segera,” katanya dalam temu bual bersama Astro Awani semalam.

Salahuddin berkata demikian susulan kenyataan setiausaha penganjur DAP, Anthony Loke yang mengatakan bahawa pihaknya sedang menunggu Muhyiddin untuk mengadakan perbincangan rasmi mengenai Belanjawan 2021.

Loke dipetik sebagai berkata bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan parti lain untuk membincangkan hal belanjawan.

Bagaimanapun Naib Presiden PKR, Xavier Jayakumar semalam menafikan PH telah mencapai kata sepakat untuk meluluskan belanjawan.

“Kami kini masih berbincang dengan DAP. Saya rasa DAP telah mengeluarkan kenyataan terlalu awal, tanpa berunding dengan rakan mereka dalam PH,” kata Xavier seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today .

Salahuddin, yang juga anggota parlimen Pulai berkata beliau juga akan berkongsi inisiatif yang akan dicadangkan kepada perdana menteri, antaranya membabitkan moratorium untuk peniaga kecil.

Selain itu Salahuddin juga menggesa peruntukan terhadap pembangkang diberi secara adil dan sama rata.

“Semua ahli Parlimen bertugas untuk rakyat. Kalau peruntukan diberi hanya untuk ahli parlimen yang menyokong kerajaan, sedangkan belanjawan perlu dapat sokongan semua, seadilnya (peruntukan) diberi kepada semua ahli parlimen,” ujarnya.

Tambah Salahuddin, situasi yang berlaku kini memerlukan ahli politik keluar dari lingkungan biasa dan melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong untuk fokus kepada rakyat.

Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah menolak cadangan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia pada masa ini.

Sebaliknya Seri Paduka meminta agar ahli-ahli politik menghentikan segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan kerajaan.

Al Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di parlimen adalah amat penting bagi rakyat dalam menangani wabak Covid-19. – Malaysiakini

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top