Pembangkang Belum Serah Nama Calon Jawatankuasa Khas Darurat

takiyuddin.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Blok pembangkang belum menyerahkan tiga nama Ahli Parlimen untuk menganggotai jawatankuasa khas bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendalikan pelaksanaan darurat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, antara individu yang akan menganggotai jawatankuasa itu ialah bekas ketua hakim negara, bekas panglima angkatan tentera, bekas ketua polis negara, bekas ketua pengarah kesihatan dan tokoh dalam bidang pertahanan, keselamatan, kesihatan, NGO serta aktivis sosial yang akan diperkenan dan dilantik Yang di-Pertuan Agong.

“Sehingga ini, saya belum terima lagi nama itu (daripada pihak pembangkang). Sepatutnya saya terima nama itu kerana saya diarahkan untuk menulis surat itu.

“Di pihak kerajaan, kita sudah ada nama-nama untuk dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Jawatankuasa ini adalah serius,” katanya dalam sebuah program RTM.

Khamis lalu, Pakatan Harapan mengesahkan menerima surat jemputan untuk menyertai jawatankuasa khas bebas yang bakal ditubuhkan bagi mengendalikan pelaksanaan darurat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, surat itu diterima Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu yang meminta blok pembangkang menamakan tiga calon.

Ia menyusul selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat yang berkata, sebuah jawatankuasa khas bebas akan ditubuhkan bagi menjamin pelaksanaan darurat secara adil dan telus.

Jawatankuasa itu ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihatkan Agong sama ada darurat besar masih berlaku dalam persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa perisytiharan darurat atau menamatkannya lebih awal.

Selasa lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Agong turut berkenan dengan cadangan kerajaan menubuhkan jawatankuasa bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, pakar kesihatan serta dari bidang berkaitan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top