KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Pemuda DAP menyelar seorang bekas pembantu politik kerana mendakwa Warisan yang meletakkan asas bagi melaksanakan terma dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
FMT dalam laporannya semalam memetik kenyataan Kaven Lee yang kesal dengan Ben Mansul yang melupakan “keringat dan air mata” Pakatan Harapan (PH) dalam proses itu.
Lee yang juga penolong setiausaha organisasi Pemuda DAP berkata, pembaharuan yang dicapai itu bukan hanya hasil usaha sebuah parti.
Walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Liew Vui Keong memainkan peranan penting dalam mendesak pembaharuan itu, katanya, ia tidak dapat direalisasikan tanpa sumbangan dan komitmen menteri serta Ahli parlimen PH.
Katanya, kerajaan PH menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk meneliti agenda MA63 dalam tempoh 100 hari pertama pemerintahannya.
“Saya berharap Warisan tidak mendakwa hanya parti mereka yang menyumbang dalam pembaharuan MA63. Naratif terpilih tidak adil untuk semua pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau berkata, Liew yang meninggal dunia pada 2020 tidak berjaya melaksanakan pindaan Perlembagaan mengenai MA63 kerana kekurangan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pindaan sama dibentangkan Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dari GPS, susulan pakatan pilihan raya antara pembangkang dan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setahun lalu. Warisan memilih untuk meninggalkan memorandum persefahaman itu.
“Kunci utama adalah berjuang untuk hak Sabah dan Sarawak, rakyat Sabah dan Sarawak tidak boleh hanya bergantung kepada parti dan Ahli Parlimen Semenanjung.
“Ia perlu gabungan bersama semua Ahli Parlimen, termasuk saudara kita dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Lee berkata demikian selepas Mansul mengaitkan kejayaan pelaksanaan terma MA63 atas usaha Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mengarahkan Liew memulakan usaha itu pada 2018.
Mansul yang juga antara pegawai Liew berkata, kerajaan PH, kerajaan Sabah pimpinan Warisan dan GPS mencapai kata sepakat bagi 17 daripada 21 isu dalam tempoh 17 bulan.