Pembahagian Kerusi 95 Peratus Selesai, Pengumuman Pada Selasa – Annuar

annuar1.jpg
Kongsi Bersama

LABUAN: Pembahagian kerusi di antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan sekutu mereka untuk pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang akan datang telah selesai 95 peratus dan pengumuman akan dibuat pada hari Selasa, kata Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, BN, PN dan sekutu mereka telah mencapai kata sepakat mengenai pembahagian kerusi dan penggunaan logo untuk pilihan raya.

“Berada di pihak pembangkang di Sabah, kami dalam BN dan PN telah sepakat bekerjasama untuk membenarkan pertandingan satu lawan satu dengan Parti Warisan Sabah bagi memberi alternatif kepada rakyat untuk Sabah yang lebih baik,” kata Annuar, yang juga ketua penyelaras (PRN) Sabah untuk BN.

Bercakap kepada wartawan pada akhir lawatan kerjanya dua hari ke Labuan malam tadi, Annuar mengatakan pihak pembangkang akan memastikan calonnya tidak bertanding antara satu sama lain dan anggota parti akan menyokong calon yang dicalonkan.

Annuar, yang merupakan Menteri Wilayah Persekutuan, berkata setiap parti politik terutama dari PN dibenarkan menggunakan logo parti masing-masing dalam pilihan raya, kecuali parti komponen BN yang akan menggunakan logo BN.

“Terpulang pada parti politik untuk menggunakan logo parti masing-masing kerana konstituen yang berlainan mempunyai tingkah laku (sentimen) pengundian yang berbeza. Mereka harus membuat penilaian sendiri dan sejauh yang kita ketahui, parti-parti dalam BN akan menggunakan logo ‘dacing’, tetapi kita juga boleh membenarkan parti lain yang menjadi rakan BN untuk bertanding di bawah logo BN.

“Tetapi kami difahamkan bahawa Perikatan Nasional yang baru didaftarkan mempunyai logo sendiri dan itu akan digunakan oleh Bersatu dan satu atau dua parti politik yang menjadi sekutu PN. Kami tiada masalah mengenainya dan kami setuju dengannya, yang paling penting, kami berkongsi satu manifesto yang sama, dan kami akan saling menyokong, ”katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top