KOTA MARUDU: Seorang pemandu traktor maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menyelamatkan rakannya yang terperangkap dalam lori yang terbakar.
Mangsa dikenali sebagai John Adam Baudi, 56, sedang mengendali backhoe manakala rakannya menaiki lori memunggah pasir berhampiran Kg Samparita, daerah Kota Marudu sekitar jam 11 pagi, Selasa.
Ketua Balai Bomba Kota Marudu Mohd Hasbi Hajat berkata berdasarkan maklumat yang dikumpul, John berkejar keluar dari traktor untuk membantu rakan pemandu lorinya apabila melihat bahagian belakang (tempat pembuangan) lori itu terbakar.
“Ternyata tempat pembuangan itu telah menyentuh wayar hidup apabila ia terbalik untuk memunggah pasir dan terbakar,” katanya ketika dihubungi.
“Pemandu traktor yang tidak menyedari hal itu terkena renjatan elektrik apabila menyentuh pemegang pintu dalam usaha untuk mengeluarkan rakannya daripada lori,” katanya.
John jatuh pengsan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan anggota polis di tempat kejadian, kata Hasbi.
Katanya, pemandu lori yang cedera dibawa ke hospital oleh pekerja lain di kawasan itu.
“Pekerja lain telah menggunakan kayu untuk membawa lelaki itu keluar dari kenderaan kerana bimbang kemungkinan terdapat arus elektrik pada lelaki atau trak itu,” katanya.
Hasbi berkata, anggota bomba tiba di tempat kejadian tidak lama selepas menerima panggilan kira-kira jam 11.35 pagi.
“Pihak kami berjaya mengawal api pada 12.35 tengah hari dan operasi ditamatkan pada 12.53 tengah hari,” katanya sambil menambah kabel elektrik dicabut dan bekalan elektrik terputus berikutan kemalangan itu.
Berita asal: The Star