TAMBUNAN: Seorang lelaki maut selepas treler dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke gaung sedalam 28 meter di Kilometer 15 Jalan Tambunan-Ranau, berhampiran Kampung Babagon, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, mangsa, 26, tersepit dalam treler dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim, berkata siasatan awal mendapati treler dengan muatan kayu balak itu dipercayai terundur sendiri sebelum terjatuh ke gaung terbabit.
“Akibat kejadian itu, pemandu tersepit dalam treler dan dikeluarkan sepasukan bomba.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis memohon saksi awam yang melihat kejadian itu tampil ke Balai Polis Trafik Keningau untuk membantu siasatan. –Bharian