TAWAU: Seorang pemandu yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk melanggar beberapa kenderaan lain sebelum merempuh pintu kaca sebuah bank di Jalan Mahkamah di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pintu bank itu pecah dan beberapa mesin pengeluaran wang automatik (ATM) rosak dalam kejadian 5.15 pagi itu.
Tiada kecederaan serius dalam kemalangan itu yang berlaku ketika lelaki berusia 25 tahun itu dalam perjalanan dari bandar ke rumahnya di Tanjung Batu, tambahnya.
“Siasatan kami mendapati pemandu itu tidak memiliki lesen memandu dan berada di bawah pengaruh alkohol,” kata ACP Jasmin, dalam kenyataan media hari ini.
Jasmin berkata, pemandu terbabit ditangkap untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).