Pemandu Kenderaan Awam Perlu Lengkap Vaksin Mulai 16 September

teksi-KK.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Semua pemandu dan pembantu atau petugas kenderaan awam seperti bas henti-henti dan bas sekolah, teksi serta e-hailing hendaklah lengap divaksin.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, syarat tambahan itu akan mula dikuatkuasakan secara ketat mulai 16 September 2021.

“Ini adalah syarat tambahan baharu kepada syarat-syarat sedia ada dalam prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa.

“Antara syarat berkenaan termasuk pematuhan penjarakan fizikal di dalam kenderaan terbabit serta pemakaian pelitup muka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau turut mengingatkan semua perkhidmatan bas henti-henti dihadkan kepada kapasiti 50 peratus sahaja, manakala untuk teksi atau e-hailing pula dihadkan maksimum hanya dua orang termasuk pemandu.

Dalam pada itu katanya, jumlah kes positif baharu semalam buat pertama kali sejak beberapa hari lepas merekodkan angka di bawah paras 2,000 dengan jumlah 1,844 kes.

“Kota Kinabalu merekodkan sebanyak 343 kes, diikuti Sandakan 234 dan Tuaran masing-masing 234 kes, Penampang 116 kes, dan Tawau 115 kes.

“Daripada 1,844 kes hari ini, 38.77 peratus atau 715 kes adalah lewat daftar antara dua hingga tiga hari selepas tarikh keluar keputusan, 7.86 peratus atau 145 kes adalah lewat daftar antara empat hingga lima hari dan 7.16 peratus atau 132 kes lewat daftar melebihi lima hari,” katanya.

Menurutnya, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,104 kes atau 59.9 peratus daripada jumlah kes hari ini.

Katanya, 536 kes atau 29.1 peratus dari saringan bergejala dan 77 kes atau 4.2 peratus dari saringan kluster.

“Sebanyak 31 kes kematian dilaporkan membabitkan lapan kes di Kota Kinabalu, enam kes Sandakan, tiga kes di Kota Marudu, dua kes di Tawau dan Penampang manakala Semporna, Tuaran, Kalabakan, Beluran, Keningau, Kinabatangan, Telupid, Putatan, Papar, dan Kunak masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top