KINABATANGAN: Seorang lelaki dibaham buaya ketika memancing di tepi sungai di Ladang Pontion Subok di Sukau, di sini, tengah hari semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan Nurul Azlan Jamaluddin berkata mayat Firman Irwan, 24, ditemui orang awam pada jam 2.30 petang.
“Mangsa ditemui 1.2 kilometer dari tempat dia diserang buaya itu,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, menurut Nurul Azlan, ibu pejabat polis (IPD) Kinabatangan menghubungi balai bomba pada jam 1.32 tengah hari mengenai seorang lelaki disambar buaya.
Beliau berkata susulan itu, empat anggota bomba bergegas ke lokasi sejauh 73 kilometer untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Polis, termasuk anggota Jabatan Hidupan Liar Sabah, turut menyertai usaha mencari dan menyelamat itu. — BERNAMA