KOTA KINABALU: Rakyat diseru supaya menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah wujud di negeri ini sejak sekian lama, dan membelakangkan mereka yang menggunakan sentimen agama dan etnik untuk kepentingan peribadi mereka.
Ketika membuat seruan itu Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata tiada ruang untuk individu yang cuba menjejaskan keamanan.
Beliau berkata, setiap orang, tanpa mengira kepercayaan mereka, bertanggungjawab untuk mengekalkan tahap toleransi yang tinggi.
“Toleransi agama adalah penting dan kita di Sabah menyedarinya. Di sinilah kita cemerlang, dan kita mesti terus memupuk kekuatan ini,” katanya pada majlis pelancaran acara Doa Sayangi Malaysia di sini hari ini.
“Kita (Sabah) mempunyai lebih 40 kumpulan etnik, masing-masing dengan kepercayaan mereka sendiri, dan keupayaan kita untuk hidup bersama secara aman adalah selaras dengan slogan Keluarga Malaysia yang dipromosikan oleh kerajaan Malaysia.
“Kita perlu meraikan kepelbagaian dan tidak melihatnya sebagai penghalang untuk bekerjasama. Inilah keindahan yang kita jadikanfokus untuk mengekalkan perpaduan kita,” tambahnya.
Bangkuai berkata demikian pada majlis itu sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri anjuran Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) di kuil Peak Nam Toong di sini.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Lembaga Kebudayaan Sabah dan telah berjalan sejak tahun 2020.
Ia bertujuan memberi ruang dan peluang kepada semua rakyat Malaysia khususnya bukan Islam di Sabah untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan negara.
Bangkuai berkata program itu amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Keluarga Malaysia, Teguh Bersama.”
“Kita boleh lihat pelbagai kumpulan masyarakat khususnya badan agama bekerjasama untuk menjayakan program ini.
“Kami seperti sebuah keluarga. Walaupun berbeza kepercayaan dan nilai, kami tetap komited untuk mendoakan kesejahteraan bersama dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.
Turut hadir, antara lain, Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Sabah Mackey Apison Lo, naib presiden FCAS Kapitan Fung Chun Fatt dan wakil dari Persatuan Kinabalu Singh Sabha, Malaysia Hindu Sangam Sabah dan Persatuan Kristian Bumiputera Sabah.