NABAWAN: Masyarakat diseru memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang.
Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin yang juga merupakan ADUN Sook, berkata Pesta Kaamatan yang bertemakan ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi’ sangat relevan kerana alam semulajadi sememangnya sinonim dengan budaya dan adat resam kaum Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) di negeri ini.
“Melalui tema ini kita diseru agar dapat menggalas tanggungjawab bagi memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang.
“Ekosistem ini harus kita pelihara dan pulihara kerana sambutan setiap perayaan menuai padi amat berkait rapat dengan alam semulajadi yang merupakan satu pesta kebudayaan perlu diraikan dan dikekalkan.
“Ini bertujuan, memastikan generasi seterusnya tidak lupa akan asal-usul nenek moyang mereka.
“Oleh itu, keaslian akan keunikan budaya, tradisi dan etnik ini dapat dipelihara agar tidak ditelan oleh arus pemodenan,” ujarnya.
Selain itu juga, beliau turut menggesa golongan belia agar memahami erti sebenar perayaan Kaamatan ini bagi memastikan budaya kaum KDMR terus terpelihara.
“Saya juga amat berharap generasi muda mempelajari dan memartabatkan bahasa ibunda ini kerana golongan muda adalah penentu kepada kesinambungan hala tuju kebudayaan kaum KDMR pada masa akan datang,” jelas beliau.
Ellron berkata demikian pada Majlis Perasmian Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan 2022 di Dewan Terbuka Majlis Daerah Nabawan pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah merangkap ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey A.Suan, ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony, Pegawai Daerah Nabawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Daerah Nabawan 2022, Peter Jonu @Peter Moinjil, Pegawai Daerah Keningau, Walter Kinson serta Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makanjil. – Sabahitz On9 Tv