KOTA KINABALU: Pasca pandemik COVID-19 memberikan pelbagai peluang baharu kepada pelbagai sektor untuk dibangunkan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, ia bukan sekadar kembali seperti normal, tetapi melibatkan pelbagai peluang baharu yang perlu diceburi.
“Sektor perhotelan sebagai contohnya, selain mengembangkan perniagaan…perlu juga memberi tumpuan terhadap perubahan baharu serta pemintaan pelanggan yang kini sudah berubah.
“Dengan memanfaatkan teknologi, komitmen kepada amalan kelestarian dan menyesuaikan diri dengan kehendak pengguna kini, kita boleh membentuk hala tuju industri perhotelan selepas pandemik ini,” katanya ketika merasmikan Kolej ATI-Festival Hospitaliti Sabah 2023 di sini, kelmarin.
Beliau berkata, selain mengutamakan ekonomi perhotelan masing-masing, tahap keselamatan para tetamu yang hadir ke Sabah perlu sentiasa berada di tahap tertinggi.
Katanya, pandemik yang berlaku telah meningkatkan kesedaran semua pihak mengenai kebersihan persekitaran dan hotel memberikan maklum balas positif dengan memperkenalkan pelbagai peraturan keselamatan serta kebersihan.
“Sektor perhotelan sentiasa mengambil usaha untuk mengutamakan keselamatan dan kebajikan tetamu mereka, melaksanakan peraturan kebersihan dan pelbagai lagi.
“Langkah keselamatan yang diambil termasuklah membersihkan bilik dengan pelbagai cara serta meningkatkan tahap keselamatan telah menjadi amalan harian dalam industri ini,” katanya.
Katanya, program yang dianjurkan itu membuktikan kesungguhan semua pihak untuk menghadapi semua cabaran, ia sekali gus menyediakan medan untuk bertukar kepakaran, rakan niaga dan memberikan motivasi diantara satu sama lain demi pembangunan sektor perhotelan yang lebih mampan. – Utusan Borneo