KOTA KINABALU: Pelantikan wanita bagi menerajui Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) membuktikan Kerajaan Sabah sentiasa memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada peranan serta kepimpinan kaum hawa, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Sabah memastikan penyertaan kaum wanita, terutama pegawai yang memiliki pengalaman luas dalam jabatan atau organisasi masing-masing, diberi pengiktirafan sewajarnya.
“Saya berharap jabatan atau organisasi yang diketuai mereka akan lebih cemerlang dan berdaya saing serta maju sejajar dengan slogan Sabah Maju Jaya,” katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Peguam Besar Sabah dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang baharu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Peguam Besar Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof menerima watikah pelantikan sebagai Peguam Besar Sabah yang baharu manakala Ketua Pengarah DBKK Noorliza Awang Alip dilantik sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu yang baharu berkuat kuasa Januari depan.
Turut hadir Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai.
Sementara itu, Nor Asiah yang memulakan kerjaya dalam bidang perundangan sejak 1995 merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas kepercayaan diberikan bagi menerajui Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.
“Banyak perlu dilakukan di jabatan ini seperti mengemaskini dan menyemak semula beberapa undang-undang sedia ada termasuk undang-undang hak milik strata,” katanya.
Bagi Noorliza pula, yang menjadi wanita pertama sebagai Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, pelantikannya itu adalah satu penghargaan daripada kerajaan negeri yang sudah pasti akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi semangat dalam kalangan wanita khususnya penjawat awam di Sabah.
Noorliza memulakan tugas di DBKK yang dahulunya dikenali Majlis Perbandaran Kota Kinabalu sebagai Penolong Setiausaha pada 1996.