Pelantikan Ahli STAR Bukti Kerajaan Serius Penuhi Manifesto

rizal-johari-STAR.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pelantikan empat ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dalam Jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukti kerajaan negeri tidak terpengaruh dengan kemelut politik di Semenanjung.

Ketua Wiramuda STAR Rizal Johari (gambar) berkata, pembentukan Jawatankuasa GRS yang turut melantik Presiden STAR Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan menunjukkan kerajaan sekarang serius untuk memenuhi manifesto Aku Janji dalam pilihan raya.

Pihaknya turut optimis dengan pelantikan itu, ia akan menghentikan tanggapan GRS berada di landasan yang goyah.

“Sayap Pemuda STAR mengucapkan tahniah kepada empat ahli yang dilantik termasuk Presiden STAR ke dalam jawatankuasa GRS.

“Saya senang dan gembira melihat perkembangan ini kerana ia menunjukkan kerajaan negeri tidak terpengaruh dengan kemelut politik di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Selain Jeffrey, tiga lagi anggota STAR yang dilantik termasuklah Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Angin; Setiausaha Agung STAR Datuk Guandee Kohoi dan Penolong Setiausaha Agung STAR Ardino Diris. Seramai 27 ahli dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa GRS.

Dalam pada itu, Rizal turut menggesa semua pihak untuk menyambut baik dan menyokong penuh gencatan politik yang mungkin akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa, demi kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Menurutnya, GRS mempunyai mandat daripada rakyat untuk menjadi pemerintah negeri ini. Justeru, pihak pembangkang harus menghormati mandat itu.

“Pilihan raya negeri sudah berakhir dan inilah masanya untuk berkhidmat sepenuhnya.

“Kerajaan negeri yang dipimpin oleh GRS mempunyai kurang daripada lima tahun sahaja untuk membuktikan yang gabungan ini mampu untuk membangunkan negeri Sabah jauh lebih baik dari sebelumnya,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan GRS mesti diberi kesempatan untuk melaksanakan aspirasi rakyat kerana susunan Kabinet sekarang dipilih dari gabungan pemimpin yang berpengalaman, bijaksana dan mempunyai citarasa politik yang segar.

Katanya, sayap pemuda STAR yakin gabungan GRS akan melaksanakan apa yang dijanjikan.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top