KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ewon Benedick berkata, pelancongan luar bandar boleh dibangunkan sebagai perusahaan kecil dan sederhana di kampung-kampung.
Sehubungan itu beliau menggesa komuniti atau pengusaha pelancongan luar bandar supaya menubuhkan koperasi dan mendapatkan lesen perusahaan pelancongan bagi memudahkan kementerian menyalurkan bantuan yang bersesuaian.
“Di Kawasan Kadamaian ramai yang mengusahakan pelancongan luar bandar secara komuniti, individu dan juga koperasi namun masih ada beberapa pengusaha yang belum mempunyai lesen perusahaan pelancongan.
“Bagi memudahkan agensi-agensi di kementerian saya menyalurkan dana atau bantuan kewangan kepada pengusaha pelancongan adalah lebih baik sekiranya mereka ada koperasi pelancongan di kampung masing-masing.
“Contohnya Eko Pelancongan Lioguku Silou-Silou Kg.Koung Malaan yang diusahakan secara komuniti, mungkin mereka boleh menubuhkan koperasi pelancongan silou-silou untuk memudahkan kementerian menyalurkan peruntukan membangunkan lagi eko pelancongan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan sesi libat urus dengan para pengusaha pelancongan komuniti dan persendirian serta pemimpin pelancongan luar bandar berasaskan komuniti di Dewan Eko Pelancongan Silou-Silou Kg Koung Malaan, di sini, hari ini.
Sesi libat urus itu dihadiri lebih 200 pengusaha pelancongan komuniti dan individu. Kadamaian mempunyai lebih 100 eko pelancongan yang kebanyakannya diusahakan oleh komuniti.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Mary Malangkig, Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jonu, Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datin Suriani Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Perhubungan ADUN Kadamaian Carlye Lajimin.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian dan Ahli Parlimen Penampang berharap proses permohonan lesen perusahaan pelancongan di Kadamaian dapat dipermudahkan dengan mengambil kira kepentingan perusahaan tersebut dalam memberikan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan penduduk.
“Saya diberitahu ada permohonan lesen yang mengambil masa lama untuk diproses atau tidak dikeluarkan kerana melibatkan dasar daripada beberapa jabatan.
“Pada saya, kita mesti mengamalkan pendekatan “common sense policy” agar tidak menggagalkan hasrat rakyat untuk membangunkan pelancongan komuniti di kampung mereka,” katanya.
Sambil mengambil contoh, Ewon berkata, ada dasar seperti kecerunan melebihi 25 darjah dikatakan tidak sesuai untuk pertanian.
“Tetapi rakyat (para petani) sudah membuktikan mereka boleh bertani dan mendapatkan pendapatan daripada tanah-tanah yang berkecerunan tinggi seperti yang ada di beberapa kampung di Kadamaian. Apa yang penting ialah ia tidak melibatkan pemotongan bukit sehingga menjejaskan alam sekitar.
“Polisi terbaik seharusnya bersifat tidak membiarkan rakyat kelaparan, polisi yang membolehkan mereka mampu menjana pendapatan.
“Dalam konteks ini, jabatan-jabatan yang terlibat dengan pengeluaran lesen operasi perusahaan pelancongan luar bandar juga perlu mempunyai “common sense” agar menjadi fasilitator kepada usaha mereka, bukan menggagalkan. Bila lesen sudah dikeluarkan, maka mudah bagi kementerian dan agensi-agensi saya untuk menyalurkan bantuan,” katanya. – NABALU NEWS