Pelancong China ke Sabah meningkat, petanda baik kepada industri

christina.jpg

Christina Liew

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peningkatan jumlah pelancong China memilih Sabah sebagai destinasi mereka selepas pandemik Covid-19 adalah satu petanda yang menggalakkan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew.

Beliau berkata daripada 1.6 juta ketibaan pelancong setakat Jun tahun ini, lebih 17,000 adalah dari China.

“Ini telah menyuntik semangat dan harapan ke dalam industri pelancongan negeri ini.

“Ia menunjukkan bahawa walaupun menghadapi cabaran global, Sabah terus mengekalkan daya tarikan yang kukuh, menarik pengunjung dari seluruh dunia untuk merasai keindahan alam semula jadi dan budaya uniknya,” katanya pada majlis penutupan ‘Program Percutian Kebudayaan Cina – Sabah, Malaysia 2023’ di Sekolah Menengah Kian Kok di sini kelmarin.

Ucapan Liew dibacakan oleh Setiausaha Politiknya Vivien Lee.

Liew yang juga Adun Api Api berkata, acara julung kali diadakan itu bukan sahaja memperkaya warisan budaya Sabah tetapi juga mengeratkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.

“Tahun ini adalah ulang tahun Ke-49 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China dan ulang tahun Ke-10 perkongsian strategik kedua-dua negara.

“Masa acara ini diadakan berkait rapat dengan sejarah kedua-dua negara kita,” katanya sambil menambah bahawa ia memberi peluang kedua-dua pihak untuk lebih memahami antara satu sama lain dan menghargai persahabatan.

Mengenai kejayaan program Festival Kebudayaan China 2023 itu Liew berkata, program tersebut memberi peluang kepada guru dan pelajar di Sabah mendalami seni, muzik dan kraf tradisional Cina serta menyelami budaya Cina yang pelbagai.

Liew juga mengucapkan terima kasih kepada 15 guru dari Wilayah Shanxi yang mengajar budaya dan seni tradisional Cina, termasuk seni mempertahankan diri tradisional, tarian rakyat, muzik perkusi, muzik klasik Cina, kaligrafi, dan pelbagai lagi kepada lebih daripada 400 pelajar di negeri ini.

Liew juga memuji Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah atas sumbangan besar mereka dalam mempromosikan perniagaan, pertukaran budaya, dan pelancongan antara Malaysia dan China.

Turut hadir ialah Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu Dr Huang Shifang dan naib pengerusi Persatuan Persahabatan Luar Negara Shanxi Li Guizeng.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top