KOTA KINABALU: China mendahului ketibaan pelancong antarabangsa di Sabah dengan 262,070 pengunjung direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini daripada jumlah 706,383 ketibaan antarabangsa, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam tempoh yang sama tahun lepas, ketibaan pelawat China hanya 26,054 daripada 424,052 ketibaan antarabangsa.
Beliau mengaitkan peningkatan lebih 900 peratus dalam jumlah itu disebabkan pengecualian visa bersama antara Malaysia dan China, yang diumumkan Disember lalu.
“Pelancongan adalah pemacu kritikal ekonomi Sabah, dan kerajaan negeri akan terus meningkatkan persekitaran perniagaannya dan menaik taraf kemudahan pelancongan untuk menarik lebih ramai pelabur dan pelancong,” kata Hajiji.
Berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China malam tadi, Hajiji menegaskan komitmen Sabah untuk memupuk hubungan ekonomi yang kukuh dengan China.
“Ketika kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan China berkembang, saya mengharapkan lebih sinergi dalam semua bidang kerjasama antara Sabah dan China. Kami akan bekerjasama rapat dengan Konsulat Jeneral China di Kota Kinabalu untuk meningkatkan dan meneruskan perkongsian ini,” tambahnya.
Sebelum Covid-19, pelancong China pernah merekodkan jumlah kehadiran tertinggi di Sabah dengan 598,566 ketibaan.
Kini penerbangan ke lebih 10 bandar raya China kini dipulihkan, pelancong China kembali ke Sabah dengan peningkatan yang signifikan.
Dalam ucapannya Hajiji turut melahirkan rasa puas hatinya kerana Sabah kekal sebagai destinasi yang dicari oleh pengunjung China, baik untuk riadah mahupun perniagaan.
“Sabah menawarkan peluang yang luas kepada pelabur dalam teknologi hijau, pertanian berteknologi tinggi, dan pembangunan bercampur. Kami juga berminat untuk pelabur China meneroka peluang dalam Ekonomi Biru negeri ini,” katanya.