KOTA KINABALU: Pelancaran aplikasi mudah alih TV Sabah merupakan satu langkah yang tepat pada waktunya.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, TV Sabah merupakan siaran TV digital yang khusus oleh rakyat negeri ini dengan majoriti pengisiannya tertumpu kepada perkembangan berita, bakat dan kebudayaan dalam Sabah.
“Era digital masa kini telah mengubah gaya hidup masyarakat di seluruh pelosok dunia.
“Sudah begitu banyak perubahan yang dapat kita lihat sama ada cara kita berinteraksi, cara kita belajar, berurus niaga, menonton TV untuk mendapatkan info serta hiburan, semuanya sudah banyak berbeza dan berubah dengan sentuhan digital.
“Peratusan penonton menggunakan aplikasi media streaming semakin meningkat disebabkan kemudahan yang disediakan aplikasi media ini berbentuk fleksibel, senang diakses dan mempunyai lebih banyak pilihan.
“Oleh itu, langkah Syarikat Kinabalu Media Sdn. Bhd. untuk melancarkan aplikasi mudah alih iaitu TV Sabah merupakan satu langkah yang tepat pada waktunya,” katanya ketika merasmikan pelancaran TV Sabah Mobile Apps di sini, pada Jumaat.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berharap semua pihak akan memberikan sokongan serta bantuan terhadap usaha murni TV Sabah yang merupakan produk tempatan bagi menjadikan platform tersebut sebagai medium ekspresi serta komunikasi untuk rakyat Sabah.
Jelas beliau, TV Sabah merupakan platform yang akan membawakan secara khusus acara-acara kemuncak sempena Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah antaranya pertandingan Sugandoi dan Unduk Ngadau melalui aplikasi berkenaan.
Hadir sama, Bendahari Agung Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Joseph Paulus Lantip dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Sabah merangkap Pengerusi AJK Publisiti dan Hebahan Kaamatan Peringkat Negeri 2023, Suzanne Lujai. – Utusan Borneo