Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna fokus tiga teras utama – Dr Joachim

dr-joachim.jpg

Joachim (tengah) menyempurnakan gimik perasmian Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Pelancaran Pelan Strategik Majlis Daerah Semporna bagi tempoh 2024 hingga 2028 memfokuskan tiga teras strategik utama.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, pelan berkenaan dibangunkan melalui bengkel pada awal Mac 2023 yang merangkumi 13 strategi dan 33 program yang dijangka dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, kejayaan pelan strategik ini bergantung kepada komitmen penuh seluruh warga kerja Majlis Daerah Semporna dan sokongan kukuh daripada Ahli Majlis Daerah.

Beliau berkata, usaha bersama dan tanggungjawab yang diambil dengan bersungguh-sungguh adalah kunci kepada pencapaian matlamat pelan ini.

Joachim turut menggesa warga Majlis Daerah Semporna dan Ahli Majlis Daerah untuk bersatu demi merealisasikan visi Majlis Daerah Semporna sebagai sebuah organisasi yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Ini penting supaya Semporna boleh menjadi sebuah daerah yang cemerlang dalam pelbagai aspek,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran pelan berkenaan di sini semalam.

Ia juga sempena Program Lawatan Kembara beliau bagi memantau perkembangan terkini di Semporna, khususnya di Pejabat Majlis Daerah Semporna.

Pada program itu, Joachim turut melawat Tapak Projek Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), yang mencadangkan pemindahan penduduk Kampung Air ke kawasan Jalan Seri Melor-Tinagayan, Semporna.

Beliau mengucapkan terima kasih dan syabas kepada semua warga kerja Majlis Daerah Semporna, Ahli Majlis Daerah Semporna, serta jabatan-jabatan yang terlibat dalam menjayakan pelan dan program ini.

Katanya, daerah Semporna mengalami perubahan, di mana kerja-kerja membersihkan sampah dimulakan.

Beliau berharap usaha itu akan diteruskan agar daerah ini menjadi lebih bersih dan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain itu, pihaknya menyeru agar Majlis Daerah Semporna menyasarkan matlamat untuk mendapat pengiktirafan sebagai ‘Asean Clean Tourist City Standard’ yang akan memberikan nilai tambah dan impak yang lebih besar kepada pelancong.

“Semporna sebuah destinasi pelancongan terkenal di seluruh dunia dan dibelenggu isu sampah sudah sekian lama yang menjadi cabaran utama daerah.

“Justeru, Majlis Daerah Semporna turut disarankan mempelbagaikan usaha untuk menjadikan Semporna sebagai daerah dan destinasi pelancongan yang bersih dan indah,” katanya. – Utusaan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top