Pelan Sabah Maju Jaya lakar pembangunan menyeluruh

hajiji-1.jpg

Gambar fail.

Kongsi Bersama

LABUAN: Pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) adalah pelan pembangunan menyeluruh yang merangkumi pelbagai sektor masyarakat, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Beliau berkata, Sabah Maju Jaya berperanan sebagai rangka kerja menyeluruh bagi pelbagai pelan tindakan pembangunan sektor sedia ada.

Hajiji berkata, pelaksanaan fasa pertama pelan itu (Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 2021-2025) memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu pertanian, industri dan pelancongan sebagai tumpuan pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kebajikan rakyat, serta rangkaian infrastruktur dan kemampanan hijau.

“Pelan hala tuju Sabah Maju Jaya seiring dengan agenda pembangunan negara di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kapal pendaratan (LCT) Asian Supply Base (ASB) yang baru dibina dan majlis pecah tanah bagi pembinaan terminal pertukaran anak kapal, semalam.

Ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe.

Hajiji berkata, sektor penting industri minyak dan gas turut menjadi fokus dalam pelan hala tuju itu.

“Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti dan memperkasakan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam aktiviti berkaitan minyak dan gas, mineral, pertanian, akuakultur dan marin.

“Sumber asli negeri mesti digunakan sepenuhnya melalui pembabitan aktif GLC dalam sektor perindustrian bagi menjana pulangan dan pertumbuhan ekonomi yang optimum,”

katanya.

Beliau berkata, industri minyak dan gas mewakili potensi besar kerajaan negeri Sabah, menyasarkan RM1 bilion dalam bentuk penganugerahan kontrak atau 20 peratus daripada jumlah kontrak minyak dan gas kepada kontraktor tempatan.

“Kerajaan negeri juga menekankan kepentingan pembangunan modal insan dalam sektor ini, menyedari keperluan individu berkemahiran tinggi untuk memacu pemulihan ekonomi dan seterusnya memacu pembangunan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata penambahan kapal pendaratan (LCT-kapal luar pesisir) dan terminal pertukaran anak kapal itu akan menjadi aset kepada ASB.

“Dengan penambahan dua LCT ini, ASB kini memiliki sejumlah empat LCT, termasuk satu kapal tunda dan satu bot kru laju,” katanya.

Hajiji berkata, komitmen ASB untuk mengembangkan perniagaannya terbukti dalam perancangan pembinaan terminal pertukaran anak kapal, yang memberi manfaat kepada pelanggannya dan memberi kesan positif kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Sabah dan Labuan.

“Penambahan aset dan pembinaan infrastruktur dijangka memacu pembangunan ASB dalam industri minyak dan gas, mengukuhkan ekonominya untuk terus menyumbang dividen kepada kerajaan negeri Sabah,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top