Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021-2025 Dibentang Bulan Depan

hajiji-4.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan membentangkan  Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025, iaitu kerangka  hala tuju dan strategi bagi terus memacu ekonomi negeri dan  sosio-ekonomi rakyat, Januari depan.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pelan pembangunan yang akan  berfungsi memandu arah pelaksanaan secara terancang bagi mencapai  sasaran berdasarkan keperluan pembangunan negeri itu juga akan bergerak  seiring dengan kerangka utama pembangunan negara melalui Wawasan  Kemakmuran Bersama.

Menurutnya kerajaan negeri sedang dalam peringkat akhir untuk  menyediakan agenda dan hala tuju pelan pembangunan itu yang turut  melibatkan sesi libat urus bagi memuktamadkan inisitiaf bertepatan.

“Kerajaan negeri yang saya pimpin bermula 29 Sept lepas  sedang berdepan realiti dan kedudukan ekonomi amat mencabar. Kami perlu  bertindak segera untuk menangani penyusutan pertumbuhan sektor  serta subsektor tertentu, dan mengenal pasti sumber baharu untuk  memperkukuh serta meningkatkan hasil negeri

“Pada masa sama, kedudukan sosio-ekonomi rakyat perlu diletakkan pada  unjuran keutamaan melalui usaha yang menjurus kepada sasaran untuk  meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya ketika berucap membentangkan  Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini pada Jumaat.

Hajiji berkata pelan pembangunan negeri itu juga dirangka sebagai  usaha membawa Sabah keluar daripada kesan pandemik COVID-19, selain  sebagai strategi membina kemajuan negeri lebih mampan di masa depan.

Beliau berkata Pelan SMJ 2021-2025 menggariskan tiga  elemen utama iaitu sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan  sebagai fokus pertumbuhan ekonomi; modal insan dan kesejahteraan rakyat;  serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Katanya Belanjawan 2021 akan menjadi belanjawan pertama bagi melaksanakaan pelan berkenaan.

Untuk itu, Hajiji mengalu-alukan semua Ahli Dewan Undangan  Negeri Sabah mengemukakan syor serta cadangan dalam proses memuktamadkan  inisiatif-inisiatif digariskan dalam Pelan SMJ 2021-2025.

“Selain perbahasan yang menjurus kepada Belanjawan 2021, input  dan saranan dalam setiap perbahasan akan diambil kira dalam pelaksanaan  Pelan Pembangunan SMJ.

“Setiap daripada kita berhasrat dan mengidamkan perubahan negeri ke  arah lebih maju dan makmur. Justeru, adalah menjadi amanah dan  tanggungjawab semua untuk memastikan keberhasilan Pelan SMJ demi  kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top