PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Pelan Pembangunan Penampang yang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) akan menjadi input kerajaan untuk merancang pembangunan di kawasan itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Penampang perlu mempunyai satu pelan pembangunan yang tersusun dan diiktiraf sebagai satu dokumen kerajaan.
“Saya telah berbincang dengan pegawai daerah Penampang dan wakil rakyat Kapayan serta ketua-ketua jabatan di Penampang, kita setuju memulakan Pelan Pembangunan Penampang ini yang telah pun bermula sejak April lalu.
“Sebagai wakil rakyat Penampang, jaminan saya ialah akan terus bekerja keras ‘membubut’ peruntukan pembangunan di kawasan ini.
“Dengan adanya dokumen Pelan Pembangunan Penampang yang diiktiraf oleh kerajaan, mudah bagi kita menjadikan dokumen tersebut sebagai rujukan untuk Rancangan Pembangunan Malaysia dan Rancangan Pembangunan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang, di Dewan Kebudayaan Penampang, di sini, kelmarin.
Ewon berkata, perancangan untuk membangunkan Penampang sebagai daerah Keusahawanan Berasaskan Digital juga akan dimasukkan dalam pelan pembangunan tersebut.
“Di peringkat Persekutuan, penyediaan perbelanjaan tahun 2024 sudah pun bermula pada April lalu. Sudah tentu dengan adanya pelan pembangunan ini akan memudahkan saya sebagai menteri dan wakil rakyat Penampang memasukkan keperluan pembangunan keusahawanan Penampang dalam Rancangan Pembangunan Kementerian,” katanya.
Beliau berharap dengan kerjasama dan sokongan semua pihak Penampang akan menjadi sebuah daerah pesat membangun pada masa akan datang.
“Penampang satu daerah yang berpotensi untuk dibangunkan tetapi pada masa yang sama berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti isu banjir, capaian internet, keperluan usahawan dan banyak lagi.
“Mudah-mudahan, suatu hari nanti, kita semua berbangga daerah Penampang satu daerah yang selamat dan pesat membangun,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Noraini Idris dan Senator Datuk John Ambrose, Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta para pemimpin setempat. – Jesselton Time