Pelan Mesra Pelabur Akan Bolehkan Sabah Sediakan Lebih 1,500 Peluang Pekerjaan

hajiji-3.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah yakin dapat menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan jika pelan pelaburan yang telah dirangka dapat dijayakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri yang memberi keutamaan kepada agenda pembangunan ekonomi negeri dan menjayakan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025).

Jelasnya melalui pelan berkenaan akan mempermudahkan kegiatan perniagaan atau ‘ease of doing business’ dan mesra pelabur di Sabah dalam usaha mempertingkatkan kegiatan perniagaan serta menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

“Usaha segera perlu dipertingkatkan untuk menjayakan beberapa pelaburan yang sedang dalam proses rundingan untuk dibangunkan di Sabah dalam sektor pengilangan komponen bateri untuk kenderaan elektrik, pembuatan kaca, pengurusan pelabuhan dan juga industri aeroangkasa.

“Semua pelaburan ini, sekiranya berjaya direalisasikan ia dapat mewujudkan lebih 1,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dan pulangan pendapatan langsung dan tidak langsung bernilai jutaan ringgit kepada negeri ini secara khususnya.

“Itu yang kita telah rangka dalam pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025),” katanya.

Komitmen itu dinyatakan Hajiji ketika menerima kunjungan hormat rombongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Pejabat Wilayah Sabah, yang diketuai Pengarahnya, Mohd Hijri Mat Rani, di Kota Kinabalu pada Khamis.

Kunjungan hormat itu disertai agensi di bawah MITI iaitu Pengarah MIDA Sabah, Wong Tiang Sing; Pengarah MATRADE Sabah, Azian Romlan; Pengarah SIRIM Sabah, Rommella Osmand dan Pengarah MIDF Sabah, Sudirman Alwi.

Pada pertemuan tersebut Hajiji turut meminta MITI bekerjasama rapat dengan agensi pelaburan negeri termasuk Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) yang baharu ditubuhkan untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara ke Sabah.

MITI turut membentangkan pencapaian kelulusan pelaburan sektor pengilangan oleh MIDA melalui MITI untuk Sabah iaitu sebanyak RM6.46 bilion bagi 15 projek pada tahun 2019 dan sebanyak RM11.86 bilion bagi 12 projek untuk tahun 2020 (Januari – September)

Manakala prestasi jumlah perdagangan Sabah dengan antarabangsa, Semenanjung dan Sarawak pada tahun lalu (Januari – Oktober 2020) adalah sebanyak RM67.1 bilion iaitu membabitkan nilai eksport sebanyak RM33.9 bilion dan import sebanyak RM33.1 bilion.

“Saya akan memantau usaha semua pihak yang terbabit dalam menarik pelabur ke negeri ini, termasuk meminta laporan dari semasa ke semasa agar apa yang kita rancangkan khususnya untuk membangunkan ekonomi negeri ini dapat direalisasikan.

“Ini kerana kita mahu negeri ini dan rakyatnya menerima manfaat daripada pembangunan ekonomi yang terancang,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top