Pelan JENDELA Akan Liputi 90 Peratus Kawasan Sabah Menjelang Tahun Depan

yakub.jpg
Kongsi Bersama

SIPITANG: Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan meliputi 90 peratus kawasan di seluruh Sabah menjelang tahun hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Datuk Yakub Khan berkata, Pelan JENDELA ini dirangka berperanan demi penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada 5G secara mantap.

“KSTI telah giat merancang dan menjalankan beberapa inisiatif demi kebaikan rakyat di negeri ini bersama-sama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan lain-lain kementerian di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar di Sabah, Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menambah pembinaan menara telekomunikasi baharu; menaik taraf stesen pemancar sedia ada kepada 4G; dan menaiktaraf Pusat e-Desa kepada Pusat Internet Komuniti (PIK).

“Selain daripada itu, KSTI juga dalam pelaksanaan dan perancangan untuk memasang kemudahan internet teknologi satelit, Very Small Aperture Terminal (VSAT) di 300 lokasi yang dikenal pasti menjelang tahun 2022, demi merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar,” katanya semasa merasmikan majlis perasmian Pusat e-Desa Kampung Pelakat di sini, pada Selasa.

Menurut Yakub, terdapat banyak program pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang telah dilaksanakan oleh Kementeriannya, seperti Karnival Sains Sabah, yang telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelajar dan orang ramai.

“Selain itu, program PitchBorneo, RoBorneo dan banyak lagi program seumpamanya telah dan akan dijalankan, demi usaha Kementerian dalam membudayakan STI dalam masyarakat negeri ini,” tambahnya.

Katanya, program e-Desa telah diperkenalkan oleh Unit Kemajuan IT Negeri (KIT) (sekarang dikenali sebagai Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital – BITD) pada tahun 2004 dengan wujudnya pusat perintis e-Desa Bundu Tuhan, Ranau.

Tambahnya, program ini kemudian diselaraskan di bawah Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital, sebuah bahagian di bawah KSTI.

“Objektif penubuhan pusat e-Desa secara ringkasnya adalah untuk menyediakan kemudahan yang lengkap dan sama rata untuk pengaksesan maklumat melalui ICT dan memberi khidmat nasihat serta bimbingan mengenai ICT kepada komuniti setempat; menjadikan komuniti setempat yang bukan sahaja sebagai celik ICT, malah membudayakan kreativiti dan inovasi serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut untuk memajukan kehidupan; dan membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat, dengan menjalankan aktiviti serta program inovasi dan kreatif di pusat e-Desa, melalui kemudahan dan prasarana yang disediakan,” ujarnya.

Yakub berharap, program e-Desa ini dapat mengaplikasikan penggunaan maklumat dan perkhidmatan yang berteraskan teknologi digital, agar ianya menjadi asas kepada peningkatan kualiti kehidupan komuniti di Kampung Pelakat, khususnya melahirkan komuniti yang berilmu dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Katanya, pembinaan pusat e-Desa Kg. Pelakat ini telah dilaksanakan oleh pihak kontraktor dengan kos kontrak bernilai RM799,829.50, sambil menambah peruntukan pembinaan adalah daripada Kerajaan Negeri Sabah melalui Bahagian Inovasi dan Teknologi Digital, KSTI.

 

Pembinaan bangunan tersebut mengambil masa selama enam bulan iaitu bermula pada 19 Jun 2020 sehingga 18 Disember 2020. Pusat e-Desa ini juga dilengkapi dengan prasarana yang baik dan diharapkan dapat membantu objektif penubuhan pusat e-Desa tercapai.

Selain itu, beliau juga mengharapkan agar Jawatankuasa Pengurusan Pusat e-Desa (JKPeD) yang telah dibentuk, dapat menggalas tugas yang diamanahkan dan memastikan objektif program e-Desa tercapai dengan jayanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob; Setiausaha Tetap Kementerian KSTI, Zainudin Aman; Pengarah Unit Pemimpin. Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah, Datuk Matbali Musa, Pengarah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah, Tianinun Iping; Pegawai Daerah Sipitang, Awangku Raimi Pg. Abd Rahman; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Sani Miasin; Pegawai-Pegawai Kanan, Kakitangan KSTI, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi, Penolong-Penolong Ketua Jabatan dan juga Ketua-Ketua Kampung. – Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top