Pelan Induk Pembangunan Sosioekonomi Sabah Akan Diperkenal

JeffreyKitingan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Walapun Sabah sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 namun kerajaan negeri tetap komited merangka pelan pembangunan ekonomi negeri kerana ia adalah sesuatu yang tidak boleh diabai.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata kerajaan negeri bakal memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Sosioekonomi Sabah dalam masa terdekat ini.

Pengumuman itu dijangka akan dilakukan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Pelan induk itu akan memperlihatkan hala tuju Sabah dalam memulihkan semula ekonomi negeri ini selepas pandemik Covid-19 berakhir.

“Kita faham rakyat berada dalam kesukaran dan kerajaan sedang berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu setiap lapisan masyarakat yang terkesan.

“Atas sebab itu, kita tidak boleh mengenepikan ekonomi kita. Sebaik sahaja pandemik ini berakhir, kita perlu membina semula kehidupan dan ekonomi kita. Kita perlu bangkit sebaik sahaja perang terhadap Covid-19 ini berakhir.

“Untuk itu, hala tuju ini akan memberi fokus kepada perancangan kerajaan bagi merangsang ekonomi. Apa yang lebih penting adalah membawa Sabah bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0 (RI4.0) dengan pengenalan 5G,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, plan strategik baharu itu akan dijayakan menerusi dana yang diperoleh melalui pelabur asing dan hasil Cukai Jualan Petroleum yang berjumlah RM800 juta yang akan dibayar kepada Sabah.

“Ini bermakna belanjawan defisit tidak boleh dielakkan. Kita kena bergerak ke hadapan bagi merangsang pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya.

Dalam masa sama, Jeffrey berkata, kerajaan negeri juga akan terus memperjuangkan hak Sabah untuk mendapatkan 40 peratus hasil negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, Sabah juga perlu bersedia untuk memanfaatkan dan bekerjasama dengan Kalimantan yang bakal menjadi ibu negara Indonesia yang baharu.

Menurutnya, kementeriannya akan memperkenalkan Sistem Perniagaan Luar Bandar Mikro bagi menyusun dan membangunkan ekonomi luar bandar. Langkah ini akan mewujudkan komuniti luar bandar yang lebih produktif, efisien dan teratur bagi meningkatkan lagi pendapatan mereka.

“Membangunkan ekonomi luar bandar dengan beralih kepada industrilisasi antara cabaran yang kita perlu hadapi.

“Atas sebab itu, kita akan mewujudkan semula Lembaga Padi Sabah bagi merangka strategi baharu untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” jelasnya.

Beliau berkata, langkah ini penting kerana Sabah bergerak ke belakang semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini yang dilihat beroperasi tanpa perancangan yang jelas.

Katanya, Hala Tuju Sabah sebelum ini diwujudkan pada 2003 semasa kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Musa Aman.

Hala tuju baharu ini akan mengambil kira perkembangan teknologi dan membangunkan infrastruktur Sabah ke arah digital.

Katanya, beliau berharap pembangunan infrastruktur itu bukan hanya merangsang pasaran konvensional di Sabah tetapi juta sektor ekonomi lain, termasuk perkongsian ekonomi, perdagangan atas talian, media sosial dan peruncit atas talian.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top